Gambar hiasan.

PADA tahun 2020, Malaysia dilanda kemelesetan ekonomi akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19. Pada tahun tersebut, ramai pekerja hilang pekerjaan dan ramai peniaga terpaksa gulung tikar kerana menanggung kerugian besar. Kadar pengangguran di negara kita meningkat daripada 3.31% kepada 4.55% pada tahun 2020, angka paling tinggi sepanjang 30 tahun.

Namun pada tahun 2021, kegiataan ekonomi mula dibuka semula setelah bilangan rakyat Malaysia menerima vaksin mencapai sasaran, ramai rakyat Malaysia menghembuskan nafas lega kerana ekonomi kembali bertumbuh sebanyak 3.13% pada tahun tersebut, berbanding -5.65% pada tahun sebelum itu. Namun, kelegaan rakyar Malaysia tidak berpanjangan apabila mereka terpaksa berdepan dengan masalah ekonomi yang lain iaitu inflasi.

Inflasi merujuk kepada peningkatan harga barang secara berterusan. Inflasi yang tercetus akibat daripada beberapa faktor antaranya adalah kenaikan harga makanan sangat memberi kesan kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan berpedapatan rendah. Inflasi dijangka meningkat kepada 3.05% berbanding pada tahun lepas iaitu 2.48%.

Namun apa yang harus diberi perhatian serius adalah inflasi mungkin menyebabkan berlakunya peningkatan jenayah terutamanya jenayah harta benda. Ini adalah kerana kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Economics and Management sudah membuktikan bahawa terdapat hubungan di antara inflasi dan jenayah di Malaysia. Inflasi mengurangkan kuasa beli dan meningkatkan kos sara hidup. Natijahnya, kadar jenayah akan meningkat kerana golongan isi rumah tidak mampu mengekalkan taraf hidup mereka.

Kerajaan juga telah mengumumkan peningkatan gaji minimum, namun persoalan yang timbul adalah adakah gaji minimum benar meningkat? Pendapatan benar akan meningkat sekiranya kadar peningkatan pendapatan adalah lebih tinggi berbanding dengan kadar peningkatan harga barang. Namun, sekiranya peningkatan kadar pendapatan adalah kecil berbanding dengan kadar peningkatan harga barang, pendapatan benar sebenarnya menurun, sekali gus menjejaskan taraf hidup rakyat.

Golongan miskin mengalami lebih tekanan kerana kemiskinan mereka menjadi semakin teruk akibat daripada inflasi. Kadar kemiskinan pada tahun 2019 adalah 5.6%, ini bermakna seramai 405,000 isi rumah adalah miskin di Malaysia. Angka ini mungkin akan meningkat pada tahun ini akibat daripada inflasi. Terdapat kajian juga menunjukkan bahawa peningkatan kadar kemiskinan akan menyebabkan berlakunya jenayah seperti mencuri dan merompak. Ini adalah kerana kesempitan hidup mendorong mereka untuk melakukan jenayah.

Oleh itu, masalah inflasi perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan berlakunya peningkata jenayah. Sekiranya, masalah ini dipandang remeh, peningkatan jenayah akan memberi pelbagai kesan antranya ialah keselamatan rakyat Malaysia akan terjejas dan juga akan menjejaskan sektor pelancongan di Malaysia. Terdapat kajian juga menunjukkan pelancong kurang berminat untuk melancong ke negara yang tinggi jenayah kerana bimbang akan keselamatan mereka.

Oleh: Dr Mohd Shahidan Shaari
Pensyarah Ekonomi
Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan
Universiti Malaysia Perlis