KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka terus mengalami tekanan dalam tempoh terdekat dan didagangkan dalam julat RM4,000-RM5,000 satu tan di tengah-tengah kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan.
Selain itu, kemungkinan Indonesia mengeksport minyak sawit dalam jumlah yang lebih tinggi daripada biasa untuk mengurangkan stok pada minggu-minggu akan datang turut mempengaruhi sentimen, demikian menurut CGS-CIMB.
Dua penganalisisnya Ivy Ng Lee Fang dan Nagulan Ravi berkat,a harga MSM semerta di Malaysia telah jatuh 30 peratus kepada RM4,698 satu tan sejak Indonesia menarik balik larangan eksportnya pada 23 Mei.
DMO mengkehendaki syarikat-syarikat untuk membekalkan sebahagian daripada produk mereka ke pasaran domestik melalui program minyak masak pukal kerajaan dan memautkan volum DMO kepada permit eksport dan kuota/hak mereka.
Menurut CGS-CIMB, Indonesia telah mengeluarkan permit eksport untuk sejumlah 2.44 juta tan minyak sawit dari Mei hingga Julai 5. Daripada jumlah ini, permit untuk 1.35 juta tan adalah untuk program DMO, manakala 1.09 juta tan adalah sebahagian daripada program flush out (FO).
Sementara itu, CGS-CIMB menganggarkan inventori minyak sawit Malaysia mungkin meningkat sebanyak 10.5 peratus bulan ke bulan dan 4.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada bulan Jun kepada 1.68 juta tan disebabkan oleh pengeluaran yang lebih tinggi serta eksport yang rendah selepas Indonesia menamatkan larangan eksportnya.
“Ini akan melonjakkan paras inventori minyak sawit ke tahap tertinggi tujuh bulan,” kata Ng dan Nagulan.
Pada Jun, pengeluaran minyak sawit di Malaysia diunjur mengembang sebanyak 6.8 peratus bulan ke bulan tetapi turun 2.9 peratus tahun ke tahun kepada 1.56 juta tan pada Jun 2022, menurut hasil tinjauan penanam oleh pasukan CGS-CIMB Futures.
Peningkatan bulan ke bulan didorong oleh faktor bermusim dan asas yang lebih rendah pada bulan Mei disebabkan oleh cuti.
Dalam pada itu, CGS-CIMB turut berkata eksport minyak sawit mungkin turun sebanyak 10.4 peratus bulan ke bulan dan 14.2 peratus tahun ke tahun kepada 1.2 juta tan, berdasarkan statistik eksport oleh juruukur kargo Intertek (-10.4 peratus bulan ke bulan), SGS (-7.4 peratus bulan ke bulan) dan Amspec Malaysia (-13.4 peratus bulan ke bulan).
Menurut Ng dan Nagulan, eksport Malaysia yang lebih lemah adalah disebabkan oleh eksport minyak sawit yang tinggi dari Indonesia selepas penarikan balik larangan eksportnya pada 23 Mei 2022, yang mengalihkan beberapa permintaan minyak sawit ke Indonesia dari Malaysia.
Berkenaan unjuran paras minyak sawit bulan Jun 2022 iaitu 1.68 juta tan, kedua-dua penganalisis itu berkata jumlah itu adalah 11 peratus di bawah purata sejarah 10 tahun bulan Jun yang berjumlah 1.89 juta.
Angka rasmi akan dikeluarkan pada 12 Julai 2022. – BERNAMA