Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Penilaian segera akan dibuat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi menyalurkan bantuan pembaikan rumah mangsa banjir di daerah Baling, Kedah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB mempunyai peruntukan khas bagi bantuan yang berkaitan malapetaka dan bencana.

“Kita ada peruntukan segera, di bawah kementerian pun ada peruntukan segera yang boleh digunakan, jadi saya dah bercakap dengan KSU saya tadi bahawa kita akan gunakanlah peruntukan sebab ini dia termasuk dalam kategori malapetaka dan bencana lah.

“Kalau baiki rumah, kita nak tengok lah segera, GiatMara akan turun esok, kita tengok tiap-tiap rumah, pengarah KPLB pun ada di sini dan kita tengok satu rumah tu berapa yang patut kita baiki dan kalau yang boleh baiki tu kita baiki teruslah sebab ini bencana,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan di kawasan bencana banjir di Kampung Sungai Iboi, semalam.

Hadir sama adalah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Datuk Ruji Ubi.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, pihaknya akan melaksanakan proses kelulusan khas bagi menyediakan peruntukan bantuan pembaikan rumah, bina baharu dan juga pembinaan semula infrastruktur yang rosak seperti jambatan kecil.

Semua bentuk bantuan dan pengendalian mangsa bencana katanya, akan diselaraskan oleh ICU JPM antaranya berkaitan infrastruktur awam seperti jambatan.

“Antara benda yang perlu disegerakan adalah untuk membuat sambungan jambatan di Sungai Iboi untuk membolehkan orang seberang sana seberang sini, sekolah ada seberang sini, masjid di seberang sana, jadi nak disegerakanlah.

“Jambatan sementara sebab jambatan yang solid memakan masa tapi kalau yang itu lambat lah sebab dia nak kira sebut harga, nak kira konsultan lagi kan, jadi kita buat yang segera dahulu,” katanya lagi.

Tambah Mahdzir lagi, KPLB juga akan menggerakkan pasukan sukarelawan bencana daripada GIATMARA untuk membantu dari segi pendawaian elektrik rumah mangsa bencana.

“Jadi ada kaedah-kaedah yang Insha Allah esok akan diputuskan oleh ICU dan lain-lain ada rumah yang hilang yang setakat ini yang telah dimaklumkan ada 7 buah dan ada rumah yang patut dibaiki, yang itu pun kami dah ada, dia orang dah buat senarai,” kata Mahdzir.

Beliau turut memaklumkan, tiga buah rumah mangsa banjir yang terlibat adalah milik kakitangan agensi di bawah KPLB iaitu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Manakala tiada premis tabika atau tadika KEMAS terlibat dalam bencana itu. – MalaysiaGazette