Andreas Pereira. - Foto Sky Sports.

LONDON – Pemain tengah, Andreas Pereira akhirnya akan menyertai Fulham secara tetap selepas rundingan antara Manchester United dan Flamengo menemui jalan buntu sebelum ini.

Pakar perpindahan bola sepak, Fabrizio Romano berkata, perjanjian penuh telah dipersetujui oleh Pereira pada minggu lalu melibatkan kontrak selama tiga tahun dan pilihan untuk tambahan satu tahun berikutnya.

United akan menerima £10 juta berserta £3 juta imbuhan tambahan.

Fulham layak ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan buat kali ketiga dalam tempoh lima musim ini.

The Cottagers dinaikkan pangkat pada 2018 namun tergelincir dengan pantas sebelum naik semula pada 2020 dan kembali tersingkir.

Pada Ogos tahun lalu, Pereira melengkapkan perpindahannya apabila menyertai kelab Brazil iaitu Flamengo secara pinjaman.

Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini menolak tawaran dari Everton untuk kekal beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Pereira percaya sekiranya dia bermain di Brazil, peluang lebih besar dalam kariernya iaitu bermain dalam Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Brazil.

Kali terakhir beliau membarisi skuad Brazil adalah pada Disember 2018 menentang Arab Saudi dalam aksi persahabatan. – Agensi