BANGI – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) muncul juara Liga Bolasepak Institut Pengajian Tinggi Piala Menteri bagi edisi 2019/2020 yang julung kali diadakan malam tadi.
Dalam aksi perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu UPNM selaku pelawat telah menundukkan pasukan UKM dengan agregat 3-0 untuk bergelar juara liga tersebut.
UPNM yang turun dalam aksi kedua perlawanan akhir dengan kelebihan 1-0 menentang UKM sebelum menang 2-0 malam tadi memuktamadkan gelaran menjadi milik mereka.
Kedua-dua pasukan pada awal separuh masa pertama berbalas serangan sebelum UPNM yang berjersi kuning hitam berjaya membuka jaringan pertama pada minit ke-15 menerusi Muhammad Ikhmal Zuri Asmadi.
Dengan berbekalkan semangat gol pembukaan itu, UPNM terus menguasai perlawanan pada separuh masa pertama dan melakukan serangan di gawang lawan bertalu-talu.
Bagaimanapun, kesemua percubaan di gawang lawan gagal diterjemahkan dalam bentuk gol oleh UPNM.
UKM yang ketinggalan satu gol terus mengatur serangan untuk mencari gol penyamaan bagaimanapun terus buntu dalam mengikat kedudukan sebelum separuh masa pertama ditangguhkan dengan keputusan 1-0 memihak kepada UPNM.
Bermula separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan di gawang gol masing-masing.
Bagaimanapun, pasukan UKM banyak memperolehi peluang mencipta gol di gawang pertahanan UPNM.
Malangnya segala peluang terbaik itu gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera serangan skuad tersebut.
UKM memperoleh beberapa peluang tepat untuk mencipta gol malangnya kelincahan bek pertahanan serta penjaga gol UPNM berjaya menepis segala percubaan lawan yang ketandusan mencari gol panyamaan.
Bagaimanapun, UPNM sekali lagi menghukum UKM dengan gol kedua selepas pemain Thinesvarman Nathan berjaya mengeleceh bola memintas beberapa pemain lawan sebelum merembat kencanng bola ke gawang lawan untuk gol kedua yang juga gol kemenangan dengan perlawanan berbaki 15 minit lagi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad hadir menyaksikan perlawanan akhir itu telah menyampaikan piala kemenangan itu kepada pasukan UPNM.
Manakala UKM diangkat sebagai Naib Juara Liga tersebut.
UPNM turut merangkul anugerah Pemain Terbaik perlawanan akhir yang menjadi milik Thinesvarman dan juga penjaring gol terbanyak Liga IPT edisi 2019/20 menjadi milik Muhammad Hadi Mohamad yang menjaringkan tujuh gol.
Pertandingan bola sepak berkenaan yang julung kali diperkenalkan itu sepatutnya diadakan pada April 2020 namun penularan Covid-19 telah memaksa ia ditunda untuk dua musim berturut-turut sebelum dilaksanakan Julai 2022. – MalaysiaGazette