Tuan Ibrahim (tengah) melawat tapak di LRA Sungai Bilut, Raub hari ini.

RAUB – Pembinaan loji pra rawatan air mentah Fasa 1 di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bilut dijangka siap sepenuhnya April 2023.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, apabila projek itu siap,  masalah air di daerah ini khususnya di kawasan bandar hinga ke Sega dapat diatasi.

“Pada waktu sama, setelah dibuat rawatan nanti, kita akan pastikan ia mesti diurus dengan cara yang betul supaya ia tiada pencemaran di bahagian bawah,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas lawatan tapak di LRA Sungai Bilut hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ditemui selepas lawatan tapak di LRA Sungai Bilut, di sini, hari ini.

Turut hadir pada lawatan yang sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Abd Aziz Mat Kiram.

Tuan Ibrahim turut diberikan taklimat berkenaan proses yang diguna pakai untuk melaksanakan pra rawatan loji-loji sebelum membuat lawatan meninjau perkembangan projek pembinaan tangki mendapan di LRA terbabit.

Menurutnya, kadar nilai bacaan kekeruhan (NTU) di Sungai Bilut adalah tinggi dan menjejaskan, kira-kira 8,329 akaun pengguna Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) yang bergantung kepada LRA ini.

Dalam pada itu, beliau juga mahu meningkatkan kesedaran masyarakat supaya sentiasa peka dan prihatin berkenaan isu-isu melibatkan pencemaran sungai di kawasan masing-masing.

“Pahang, alhamdulillah hingga hari ini tiada dilaporkan kes pencemaran sisa toksin ke dalam sungai yang menyebabkan penutupan ke atas loji-loji.

“Cuma ada satu atau dua kes yang berlaku di Keratong 5 yang berlaku apabila takungan di sebuah kilang Felda pecah,” jelasnya.

Pembinaan loji pra rawatan air mentah Fasa 1 di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Bilut dijangka siap sepenuhnya April 2023.

Namun Tuan Ibrahim memaklumkan kementeriannya melalui agensi berkaitan akan sentiasa memantau sebarang kejadian pencemaran yang boleh menjejaskan penduduk.

Terdahulu, kerajaan Pahang pada Februari telah meluluskan sebanyak RM18 juta bagi pembinaan tangki mendapan melibatkan tiga loji rawatan air di Sungai Bilut, Sungai Semantan, dan Sungai Klau bagi menangani isu kekeruhan yang berlaku.

Nilai kontrak bagi LRA Sungai Bilut adalah sebanyak RM7.64 juta, manakala LRA Sungai Semantan berjumlah RM5.22 juta dan nilai kontrak bagi projek LRA Sungai Klau pula berjumlah RM3.41 juta.- MalaysiaGazette