Keadaan anak- anak Zulaina Hashim di Flat Taman Desa Cheras, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 07 JULAI 2022.

CHERAS – Ibu mana yang sanggup memikirkan nasib ketiga-tiga anaknya yang kurang upaya, tidak seperti anak-anak orang lain.

Nasib ketiga-tiga anak Zulaina Hashim masing-masing berusia 24, 16 dan 12 tahun yang disahkan doktor mengalami perkembangan yang tidak normal menjadikannya tidak sanggup untuk pergi dahulu meninggalkan mereka.

Wanita berusia 42 tahun itu berkata, beliau yakin tidak akan ada orang lain yang sanggup dan mampu menjaga anak-anaknya kecuali dia dan suami, Nizam Senapi, 46.

“Saya nampak memang tidak ada siapa yang boleh jaga anak-anak saya selain saya dan suami. Ke mana pergi pun saya bawa mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ketiga-tiga cahaya matanya adalah Mohd Zulzamril, Nur Huznina dan Mohd Haikal.

Ujar beliau, semenjak lahir tumbesaran kesemua anaknya tidak seperti orang lain.

Zulaina Hashim berasa sebak ketika temubual Program CSR MG Prihatin di Flat Taman Desa Cheras, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 07 JULAI 2022.

Bagaimanapun ujarnya, anak kedua dan ketiga masih boleh bertutur meskipun tidak jelas, berbeza dengan anak sulungnya yang berusia 24 tahun itu.

Zulaina berkata, selain tidak boleh bertutur, kaki Mohd Zulzamril juga tidak kuat dan perlu dipapah ketika berjalan.

“Tiga-tiga buat Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), tapi memang doktor sahkan perkembangan lambat. Sebab masa buat MRI memang doktor tidak ada kesan apa-apa dalam badan mereka yang tidak normal,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Zulaina bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah restoran agar anak-anaknya tidak ditinggalkan lama di rumah.

“Saya pagi kerja tukang masak di restoran jam 8.30 pagi jam 10.30 pagi balik.

“Yang sulung memang akan duduk sahaja dalam bilik. Tapi saya risau kalau tinggalkan yang dua lagi tu. Sebab mereka tahu berjalan sikit,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, kehidupan mereka lima beranak tidaklah seperti orang lain apatah lagi dengan pendapatan suaminya yang hanya bekerja sebagai pemandu lori.

Jelasnya, gaji suami sebanyak RM2,350 sebulan tidak akan memungkinkan mereka mampu menanggung semua komitmen setiap bulan.

Keadaan anak- anak Zulaina Hashim di Flat Taman Desa Cheras, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 07 JULAI 2022.

Malah tambahnya, setiap bulan ada saja komitmen yang terpaksa ditangguhkan dek kerana kesempitan kewangan.

“Cukup dengan tidak cukup, bulan ini bayar yang ini, bulan depan tidak bayar yang tu pula.

“Kalau nak bayar sekaligus komitmen memang tidak mampu, gaji pokok suami pun baru RM2,350 sahaja, tu pun ambil 10 hari sekali sebab tidak mahu putus duit sampai hujung bulan,” tambahnya.

Namun begitu, sebagai seorang ibu Zuliana sedaya upaya akan memenuhi selera ketiga-tiga anaknya setiap hari meskipun dia dan suami yang terpaksa mengikat perut.

“Apa yang anak-anak teringin saya akan beli sebab selalu fikir apa jadi kat saya tak sempat anak-anak nak makan. Janji saya belikan makanan yang mereka mahu,” Zuliana berkata.

Sebagai rekod, Zulaina merupakan penerima program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), MG Prihatin Sempena Hari raya Aidiladha pada hari ini di Flat Taman Desa.-MalaysiaGazette