ALOR GAJAH – “Ketika sedang tidur, tiba-tiba dinding bilik terasa panas sebelum mak cik nampak api menjulang tinggi dari rumah anak.
“Tanpa berlengah, mak cik ketuk tingkap rumah jiran meminta tolong dan hanya mampu menangis menggigil memikirkan nasib anak dan cucu di dalam rumah,”.
Itu diceritakan Siti Zainun Abdullah, 85, ibu kepada Allahudin Abd Hamid, 51 dan anaknya Muhamad Badrol, 5 yang rentung dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Cherana Puteh, di sini awal pagi tadi.
Menurut warga emas itu, dia tidak menyangka api marak begitu pantas sebaik terjaga dari tidur sekitar jam 2 pagi tadi sehingga tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan anak ketujuh dan cucunya itu.
“Mak cik cuba bantu tapi dimarahi jiran kerana api sudah terlalu besar dan ketika itu mak cik hanya dengar bunyi kayu dan zink dijilat api,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Anak sulungnya, Seti Zaleha Abd Hamid, 68, berkata, tidak banyak mampu diceritakan ibunya yang sukar bercakap kerana masih trauma dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu.
“Ibu menyaksikan sendiri kejadian dan masih trauma dengan kejadian menyayat hati ini yang berlaku begitu pantas.
“Arwah adik yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori selama ini pun banyak membantu menjaga ibu termasuk melakukan kerja-kerja bertukang membaiki rumah,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, adiknya itu hanya tinggal berdua bersama anak bongsunya itu di rumah berkenaan manakala empat lagi anaknya tinggal bersama bekas isterinya.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan dua beranak ditemukan rentung dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi mengakibatkan 70 peratus daripada rumahnya yang berkeluasan 20 x 50 kaki persegi musnah dijilat api.
Komander Operasi dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Yusof dilaporkan berkata, pasukan bomba menemukan seorang lelaki di dalam bilik air dan anak lelakinya di dalam bilik tidur rumah setingkat itu.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebaik operasi tamat pada jam 5.19 pagi tadi. – MalaysiaGazette