KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan amaran terakhir berhubung kenyataan terbuka Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai kes penyelewengan RM1.2 juta yang sedang dihadapi oleh Ahli Parlimen Muar itu.

Beliau diingatkan agar tidak berkongsi atau membuat sebarang komen di media sosial selagi kesnya belum selesai di mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memberi kata dua itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mengenai laporan polis yang difailkan semalam.

Ia berhubung hantaran Twitter daripada akaun tertuduh berhubung keterangan mahkamah membabitkan Bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali iaitu saksi pendakwaan utama.

“Saya masih ingat Hakim Mohamed Zaini Mazlan juga pernah mengulas perkara sama sebelum ini dan turut menasihatkan tentang perkara ini.

“Jadi biarlah ini menjadi amaran terakhir kepada semua pihak untuk tidak membuat ulasan sedemikian lagi,” kata Azhar.

Wan Shaharudin sebelum ini berkata, pihak pendakwaan sedang mempertimbangkan agar tindakan Syed Saddiq itu dianggap telah menghina mahkamah.

Sebagai tindak balas segera, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) membuat permohonan maaf secara langsung dengan rasa rendah diri kepada Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

“Saya memohon maaf dengan serendah hati,” katanya.

Semalam, Syed Saddiq dikatakan membuat tangkap layar dan berkongsi hantaran yang dibuat peguam belanya, Gobind Singh Deo berhubung soal jawab yang dibuat kepada salah seorang saksi pendakwaan utama di Insta Story miliknya.

Gobind dalam penjelasannya berkata, hantaran di media sosial yang menjadi perbalahan itu hanya hantaran semula daripada orang lain dan beliau telah memberitahu Syed Saddiq untuk mengeluarkannya daripada akaunnya.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 18 Julai ini untuk menyambung perbicaraan kerana Azhar perlu meneliti hujah yang dikemukakan oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya dan pasukan pembelaan selepas semalam, Syed Saddiq mahu mencabar kredibiliti keterangan saksi utama iaitu bekas Penolong Bendahari Armada Parti Bersatu kerana didakwa bercanggah dengan keterangan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, pada awal prosiding, Rafiq Hakim Razali, 32, disoal balas oleh Gobind yang mewakili Syed Saddiq berhubung arahan pengeluaran RM1 juta yang dikatakan berlaku di rumah anak guamnya di Petaling Jaya.

Selepas menyoal balas saksi ke-13 pendakwaan itu, pihak pembelaan kemudian bertanya kepada Azhar, sekiranya mahkamah boleh menggunakan budi bicaranya untuk memulakan prosiding mencabar kredibiliti saksi.

Ia berikutan keterangan saksi yang ingin dicabar tidak dimasukkan di mahkamah oleh pihak pendakwaan.

Isnin lalu, pasukan peguam Syed Saddiq turut memohon maaf kerana mengulas kes anak guaman mereka secara terbuka.

Permohonan maaf itu menyusul selepas Wan Shaharuddin memaklumkan mahkamah bahawa peguam Lim Wei Jiet mengeluarkan kenyataan umum berhubung kes yang sedang dibicarakan itu.

Wan Shaharuddin menegaskan bahawa ini bukan kali pertama pasukan peguam Syed Saddiq ditegur kerana mengulas kes yang sedang berjalan, tetapi berkata beliau tidak minta prosiding menghina mahkamah dikenakan.

Beliau memetik satu laporan polis yang dibuat terhadap Lim pada 24 Jun lalu berhubung satu video dimuat naik di YouTube mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq bermotifkan politik.

Pengadu berkata, komen peguam boleh mengganggu proses kehakiman kerana perbicaraan masih belum bermula ketika itu, sambil menambah, ia menjadi  subjudis iaitu peraturan undang-undang yang melarang daripada kes dibincangkan di khalayak ramai.

Selepas permohonan maaf itu, Azhar mengingatkan semua pihak bahawa “biarkan bukti yang berbicara”.

Sementara itu, mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast