Foto: FB Istanbul Sabiha Gokcen International Airport

ANKARA – Malaysia telah menyuarakan hasrat kepada Turkiye supaya operasi terminal ketiga dan landasan kedua lapangan terbang Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISGIA) di Istanbul diserahkan kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permohonan itu dibuat oleh beliau bagi pihak MAHB dalam pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan di sini semalam.

Katanya, ISGIA di Turkiye yang dimiliki sepenuhnya dan diuruskan oleh MAHB kini sedang diperbesarkan oleh kerajaan Turkiye melibatkan sebuah landasan dan sebuah terminal baharu.

ISGIA yang kini memiliki satu landasan dan dua terminal merupakan pintu masuk keenam paling sibuk di Eropah, dengan jumlah penumpang mencecah 25 juta pada 2021 yang merupakan 70 peratus daripada angka pra-pandemik COVID-19.

Ia merupakan lapangan terbang kedua terbesar di Turkiye selain menjadi landasan tunggal paling sibuk di dunia dengan penerbangan ke 110 destinasi di 49 negara.

Ismail Sabri juga berkata, beliau telah mengadakan pertemuan bersama sembilan pemain utama industri termasuk syarikat berkaitan kerajaan Turkiye sepanjang lawatan rasmi empat hari yang berakhir hari ini, antaranya TUBITAK, OYAK, Turkish Wealth Fund, GAMA Enerji, Tuyar, yang turut melibatkan syarikat dan GLC Malaysia iaitu MIGHT, Khazanah, Boustead, TNB dan SilTerra.

“Antara hasil yang dicapai ialah syarikat Turkiye telah menyatakan minat untuk melabur di Malaysia, bekerjasama dalam pemindahan teknologi dan berkolaborasi dalam perkongsian kepakaran,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia.

Kedua-dua negara turut bersetuju mengenai perluasan skop Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang meliputi bidang pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang, sebagai tambahan kepada perdagangan yang merupakan skop asal MTFTA.

Ia dijangka membuka peluang pelaburan berimpak tinggi dari Turkiye ke Malaysia, mencipta peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan kemahiran bernilai tinggi di Malaysia dalam jangka masa panjang, kata Perdana Menteri.

Menurut beliau, kerjasama kedua-dua negara juga akan menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan dan pelaburan Türkiye di rantau Asia dengan memanfaatkan keanggotaan Malaysia dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), begitu juga dengan keanggotaan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang bakal dimuktamadkan kelak. – Bernama