Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Imran Abd Rahman. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 JANUARI 2021.

PUTRAJAYA – Polis telah menerima sekurang-kurangnya 22 laporan berhubung isu bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Imran Abd Rahman berkata, setakat pukul 3 petang hari ini, laporan polis telah dibuat oleh mangsa dan anggota keluarga mangsa antaranya di Dungun, Terengganu; Setapak, Kuala Lumpur; Temerloh, Pahang; Rawang, Selangor.

“Kita jangka akan ada lagi laporan menyusul kerana mangsa yang terlibat tu ramai,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Imran berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Siasatan hanya boleh dibuat selepas laporan dibuat. Jadi selepas ini pihak polis akan panggil beberapa saksi termasuk wakil syarikat yang terlibat untuk mendapatkan cerita yang sebenar.

“Sekarang ni kita baru nak siasat, kita tak kata mereka ni sah kena tipu. Jadi kita tidak tahu kedudukan (sebenar) lagi, biar kita siasat dulu,” katanya.

Kira-kira 380 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA semalam dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan. Mereka dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji. – Bernama