KUALA LUMPUR – Sekretariat Kebajikan dan Tuntutan Rakyat mengulangi kecaman pihak tertentu kononnya organisasi itu merupakan pertubuhan ekstrem dan anti-vaksin.
Anggotanya, Masrizi Sat menegaskan, sepanjang tempoh pandemik Covid-19, NGO itu tidak pernah sekali-kali menentang setiap dasar kerajaan untuk menangani penularan virus berkenaan dan menyelamatkan nyawa rakyat.
Tetapi, katanya, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) dilihat bertindak terburu-buru dengan menjadikan rakyat sebagai bahan uji atau kambing hitam demi kepentingan mereka.
“Apabila kami bersuara, kami dituduh ekstrem, anti-vaksin. Padahal kami tidak sebagaimana yang mereka nyatakan itu. Kami hendak menolong kerajaan dan kami juga lengkap dua dos vaksin.
“Sepanjang dua tahun dalam tempoh pandemik, ratusan ribu aduan kami terima daripada pelbagai lapisan masyarakat, yang majoriti tidak setuju dengan dasar atau peraturan dikenakan KKM.
“Masjid, surau, sekolah agama diserbu, dikenakan denda kerana konon melanggar SOP. Jemaah menunaikan solat digari. Kami dianggap penjenayah sepanjang tempoh itu dan betapa hinanya kami pada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Deklarasi Manifesto Konvensyen Kebajikan dan Tuntutan Rakyat di Villa Puteri Condominium di sini, hari ini.
Jelas Masrizi, semua ulama dan pelajar tahfiz akan mengadakan solat hajat besar-besar dekat pilihan raya umum (PRU) nanti.
Katanya, mereka di seluruh negara akan bersolidariti dan mendoakan agar negara ini selamat dan ditadbir oleh mereka yang benar-benar memiliki ciri kepimpinan. – MalaysiaGazette