JOHOR BAHRU – Seramai 11 saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan berikutan insiden tragis melibatkan seorang suami yang mengelar isteri dan bayinya di Kampung Bakar Batu di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan berkaitan kes itu dari masa ke masa untuk makluman ramai.
“Kita dapat reman suspek selama satu minggu dan kertas siasatan masih berjalan dan saya rasa ramai masyarakat ingin mengetahui kes tersebut.
“Untuk pengetahuan semua setakat ini, polis telah mengambil rakaman percakapan saksi yang berada di kawasan tersebut yang melihat kejadian itu dan seramai 11 orang telah dirakamkan percakapan.
“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan dan perkara ini biarlah pihak polis lengkapkan dahulu,” katanya ketika ditemui dalam Op Lancar Sambutan Aidil Adha di Jalan Tebrau hari ini.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman menafikan berlaku pergelutan di antara pegawai polis dan suspek kes bunuh terbabit.
Sebaliknya jelas beliau, suspek memberikan kerjasama baik dengan pilis sepanjang siasatan dilakukan.
“Buat masa ini kita masih buat siasatan ke atas suspek. Masa tangkapan tiada pergelutan. Semasa dapat maklumat daripada orang awam kita terus ke tempat kejadian dan terus menahan suspek,” katanya.
Pada Selasa lalu, suspek ditahan polis selepas dipercayai mengelar isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan juga bayi lelaki mereka, Hans Mohd. Thakif, dua bulan di kediaman mereka di Kampung Bakar Batu kira-kira pukul 12 tengah hari.
Anak sulung daripada tiga beradik itu ditahan di Permas Jaya tidak lama selepas tular beberapa rakaman video yang memaparkan dia menunggang motosikal dalam keadaan berbogel di media sosial.- MalaysiaGazette