TELUK KUMBAR – Lemang daun lerek yang popular bagi mereka di Pantai Timur kini menjadi rebutan warga utara khususnya penduduk Pulau Pinang.
Menyedari keunikan rasa dan aroma lemang daun lerek, Ismail Hashim Zakaria, 34, menjadikan daun herba itu sebagai pengalas lemang yang dijualnya sejak tiga tahun lalu.
Beliau berkata, permintaan terhadap lemang tu meningkat setiap kali hari raya kerana rasanya yang enak serta aroma yang dihasilkan daripada daun lerek menjadikannya lebih wangi.
Jelasnya, selain sukar diperoleh di kawasan utara lemang jenis itu turut mempunyai kelebihan tersendiri yang mana buluhnya tidak perlu dibelah sebaliknya boleh terus ditarik dari buluh.
“Banyak yang dijual di sini lemang beralaskan daun pisang dan lemang daun lerek ini selalunya boleh didapati di Selangor atau Pantai Timur.
“Jadi, kami gunakan idea daun lerek itu sebagai pengganti daun pisang sekali gus memastikan warga utara mampu menikmati keenakan lemang lerek setiap kali hari raya tanpa perlu pergi jauh mendapatkannya” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di gerainya bersebelahan Sekolah Rendah Sungai Batu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismai Hashim berkata, dia mendapatkan bekalan daun lerek serta buluh dari Sik, Kedah memandangkan daun itu sukar diperoleh di negeri ini.
Selain itu, dia turut mendapatkan bekalan kayu getah dari Kedah dan Perak untuk proses membakar lemang susulan penggunaan kayu akan menjadikan lemang bertambah sedap kerana apinhya mudah dikawal.
“Semua proses menghasilkan lemang ini akan diuruskan oleh saya dengan bantuan 15 lagi tenaga kerja yang terdiri daripada kenalan terdekat.
“Semua proses penyediaan lemang akan dibuat di gerai bagi memastikan pelanggan lihat cara penghasilan sekali gus memberi keyakinan kepada mereka cara penyediaannya bersih,” katanya.
Tambah Ismail Hashim, mereka mampu menghasilkan 1,000 hingga 1,500 batang lemang dan ia akan dijual mengikut saiz iaitu daripada RM15 hingga RM35 sebatang.
“Sehari permintaan lemang daun lerek ini boleh mencecah 1,000 hingga 1,500 batang dan secara purata ketika Hari Raya Aidiladha tahun lepas sebanyak 4,000 batang lemang dijual.
“Tahun ini, kami jangkakan berlaku peningkatan 5,000 batang lemang memandangkan orang ramai pulang ke kampung selepas dua tahun Covid-19 selain cuti panjang kali ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette