Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Landasan pemulihan negara kekal kukuh dengan pelbagai indikator ekonomi terkini terutamanya jumlah perdagangan borong dan runcit yang terus meningkat.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan perkembangan terkini, negara bakal mencapai unjuran pertumbuhan 5.3 peratus hingga 6.3 peratus bagi tahun ini.

Ia selari dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia iaitu masing-masing sebanyak 5.75 peratus dan 5.5 peratus.

Katanya, data terkini bagi bulan Mei 2022 menunjukkan rekod jualan tertinggi bagi perdagangan borong dan runcit sejak tahun 2013 dengan jumlah RM129.8 bilion dan kadar pertumbuhan sebanyak 19.9 peratus.

Perdagangan runcit meningkat sebanyak 29.9 peratus kepada RM56.3 bilion.

Sementara perdagangan borong meningkat sebanyak 11.7 peratus bagi tempoh yang sama kepada RM59.6 bilion.

Penjualan kenderaan bermotor pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 20.1 peratus kepada RM13.9 bilion.

“Secara keseluruhan, nilai perdagangan borong dan runcit yang telah dicapai semenjak Oktober 2021 (RM116.2 bilion) telah pun jauh melebihi nilai purata yang direkodkan semasa pra-pandemik (2018 – 2019) iaitu RM106.3 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Tengku Zafrul, pelbagai indikator lain pada bulan Mei juga menunjukkan bahawa prestasi ekonomi beransur pulih dan
mula mengembang.

Ini antaranya termasuk jumlah penganggur terus mencatatkan penurunan kepada 637,700 orang berbanding 649,300 orang pada bulan sebelumnya.

Kadar pengangguran kekal di paras 3.9 peratus berbanding April 2022.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 4.1 peratus dari tahun ke-tahun didorong oleh pengeluaran produk elektrik dan elektronik (E&E) yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15.5 peratus.

Peningkatan tersebut selari dengan jualan sektor pembuatan yang berjumlah RM142.0 bilion iaitu peningkatan sebanyak
15.7 peratus dari tahun-ke-tahun.

Tambahnya, prestasi dagangan negara kekal kukuh dan terus mengekalkan momentum pertumbuhan.

“Jumlah dagangan meningkat 33.6% dari tahun-ke-tahun kepada
RM228.4 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-16 berturut-turut sejak Februari 2021.

“Selari dengan prestasi dagangan, eksport dan import juga mencatatkan pertumbuhan, iaitu masing-masing sebanyak 30.5 peratus dan 37.3 peratus,” katanya.

Tambah Tengku Zafrul, melangkah ke hadapan, Bajet 2023 akan memberi penekanan terhadap aspek pembaharuan struktur dan pengukuhan daya tahan ekonomi.

Bajet tersebut bertemakan ‘Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan Ke Arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast