Yayasan Ikhlas dengan kerjasama Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan ibadah korban di beberapa tempat di kawasan pedalaman Sabah.

KUALA LUMPUR – Yayasan Ikhlas dengan kerjasama Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan ibadah korban di beberapa tempat di kawasan pedalaman Sabah sempena Aidiladha mulai esok.

Pengurus Kempen Korban Yayasan Ikhlas, Mustafa Kamaruddin berkata, tahun ini seramai 3,570 buah keluarga asnaf di negeri itu bakal menerima manfaat daging korban yang datang hasil daripada penyertaan seluruh rakyat Malaysia.

Menurut beliau, kokasi agihan korban adalah di Ranau, Kuala Penyu, Kota Kinabalu, Semporna, Sandakan, Kota Belud dan Kudat.

“Alhamdulillah, tahun ini Yayasan Ikhlas mendapat kerjasama daripada Pejabat Mufti Sabah dan dengan kehadiran Sahibus Samahah pastinya dapat menceriakan lagi umat Islam yang tinggal di pedalaman.

“Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar akan turut melaksanakan sendiri perlaksanaan ibadah korban di dua lokasi iaitu Ranau dan Sandakan.

“Seramai 16 orang petugas Yayasan Ikhlas daripada Semenanjung dan Borneo akan berkumpul di Ranau Sabah pada hari Ahad 10 Zulhijjah bagi persiapan pelaksanaan Ibadah korban demi memastikan ianya dapat berjalan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Selain ibadah korban di Sabah, program juga akan melibatkan lawatan ke Surau Al-Falah, Maahad Tahfiz As-Sobirin di Kg Sosondoton, Ranau.

Lawatan  itu untuk meninjau perkembangan pembinaan yang sedang dilaksanakan di bawah projek Demi Surauku oleh Yayasan Ikhlas yang dilancarkan Ramadan baru-baru ini.

Menurut Mustafa, ibadah korban ini adalah salah satu syiar Islam di mana inilah masa ukhuwah Islamiyah dapat diangkat dengan menyantuni saudara-saudara mualaf serta masyarakat fakir dan miskin tanpa mengenal latar pekerjaan, tempat tinggal, kaum dan agama.

Jelas beliau, fokus agihan daging korban adalah di kawasan pedalaman bagi membantu saudara Islam yang susah dan tidak berkemampuan merasai daging korban.

Sementara itu, kerjasama Yayasan Ikhlas bersama Jabatan Mufti Negeri Sabah juga melibatkan beberapa buah projek Yayasan Ikhlas di Borneo antaranya projek Sekolah Agama Rakyat, Bina & Baik Pulih Masjid serta Projek Air Bersih.

Antara projek terdekat Yayasan Ikhlas yang dilancarkan bermula tahun hadapan untuk membina Masjid di Kampung Long Pasia, Sipitang.

Yayasan Ikhlas juga menyeru kepada masyarakat Malaysia yang berkemampuan, peluang sentiasa terbuka untuk mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban sepanjang kempen ini berlangsung.

Mereka yang berminat, boleh terus mendaftar penyertaan anda di korbanikhlas.com atau hubungi di talian 010–3030 530 untuk maklumat lanjut.

Tarikh tutup penyertaan Korban Ikhlas adalah esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast