KUALA LUMPUR – Pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terkandas pada separuh akhir Masters Malaysia buat kali keenam berdepan dengan masalah yang tiada kaitan dengan corak permainan.
Perkara itu diakui Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky.
Beliau sudah mengenalpasti permasalahan dihadapi oleh gandingan keenam dunia itu yang dilihat mempunyai isu daripada sudut cara berfikir.
“Saya mula (bersama BAM), dari Disember hingga sekarang, Julai… sudah enam bulan. Banyak perubahan daripada cara berfikir dan hati mereka ini yang saya fikir harus diperbetulkan.
“Mungkin selama ini mereka sudah biasa…apa yang mereka kehendaki harus dapat, yang mereka minta harus dapat,” katanya pada sidang media secara atas talian, hari ini.
Menurut Rexy, sebelum ini apa yang dimahukan Aaron-Wooi Yik mudah diperoleh tanpa berusaha, ia sekali gus memberi kesan kepada pasangan itu apabila berada di dalam gelanggang terutama ketika berdepan saat-saat sukar.
“Kita kecewa dengan Aaron-Wooi Yik semalam. Di set pertama, sudah diberitahu harus bermain seperti mana, tapi apa yang dibuat dalam gelanggang sangat berbeza.
“Mereka bermain dengan emosi, panik dan melihat bahawa seperti mereka lebih baik daripada Fajar-Rian… akhirnya panik sendiri.
“Sepatutnya mereka dalam beberapa pertemuan sebelum ini, Fajar-Rian sudah mendominasi mereka.
“Mereka juga harus mempunyai perasaan ‘nothing to lose’ kerana saya lihat juga Fajar-Rian di gelanggang pemanas badan, mereka berkomunikasi sangat tidak tertekan, sedangkan pemain kita pula sekiranya ada latihan, terlalu banyak berfikir.
“Berfikir harus menang, harus menang dan semuanya. Itu pemikiran yang salah, mereka tak boleh berfikir seperti itu, mereka harus bermain ‘nothing to lose‘,” kata Rexy.
Semalam, Aaron-Wooi Yik yang mula digandingkan pada 2017 sekali lagi tersungkur di separuh akhir, kali ini di Masters Malaysia selepas minggu lalu turut mengalami nasib sama di Terbuka Malaysia.
Aaron-Wooi Yik yang belum meraih meraih gelaran, tewas di tangan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 14-21, 21-19, 10-21 dalam tempoh 50 minit di Axiata Arena Bukit Jalil. – MalaysiaGazette