KUALA LUMPUR,- Satu sistem cuaca tekanan rendah di barat Filipina dijangka bergerak menuju ke timur Vietnam dalam tempoh 10 hingga 13 Julai yang berpotensi membawa angin baratan yang kuat dan boleh menyebabkan kejadian garis badai.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keadaan itu boleh mengakibatkan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang di utara Sarawak (Bintulu, Miri dan Limbang), barat Sabah dan Labuan hingga 12 Julai dan negeri-negeri utara Semenanjung mulai esok (11 Julai) hingga 13 Julai.
Menurut kenyataan itu, sistem cuaca tekanan rendah berkenaan dikesan berdasarkan analisis model Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMRWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).
Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan orang awam supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial agensi itu serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih. – BERNAMA