Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Cadangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Perjanjian Malaysia Baharu diusulkan tidak sepatutnya disebut langsung, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipersetujui pemimpin awal negara adalah perkara dasar bagi penubuhan sesebuah negara.

“Apa yang disebut oleh Tok Mat (Mohamad) sepatutnya tidak patut disebut. Apa yang kita kehendaki adalah pelaksanaan syarat-syarat yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan hasil daripada (Laporan) IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Daging Korban sempena Aidiladha di Gedong, kira-kira 90 kilometer dari sini.

Abang Johari berkata, kebanyakan syarat dalam MA63 telah terhakis dan rundingan sedang dilaksana antara Kerajaan Persekutuan, Sabah serta Sarawak untuk mengembalikannya.

“Tidak payah kita membuat perjanjian baharu. Kalau perjanjian baharu, bermakna anda mentaksahkan perjanjian lama. Kalau anda mentaksahkan perjanjian lama maka pembentukan Malaysia akan dipertikai,” katanya.

Mohamad ketika berucap di Konvensyen BN Sabah pada 2 Julai lepas menyuarakan cadangan supaya BN Sabah mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri itu dalam MA63.

Abang Johari juga berkata, rundingan dengan Kerajaan Persekutuan ketika ini yang menyentuh MA63 turut melibatkan pemberian khas kepada Sarawak seperti yang termaktub di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Sarawak mahukan pemberian khas ini diagih berdasarkan satu formula kadar peratusan terbaik daripada pendapatan yang diperoleh dari negeri ini untuk dikembalikan kepada Bumi Kenyalang.

Abang Johari berkata, rundingan bagi seorang wakil kerajaan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti diperuntuk dalam Laporan IGC juga menampakkan perkembangan baik berdasarkan maklum balas terbaharu yand diterimanya.

“Sekarang mereka (LHDN) sudah meminta nama untuk mewakili Sarawak. Bermakna kita akan tahu berapa pendapatan kita. Kita boleh tahu berapa amaun yang tepat yang anda (Kerajaan Persekutuan) boleh berikan kepada kami,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Sarawak tidak berniat untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan dan mahu rundingan mengenai MA63 menghasilkan situasi menang-menang bagi semua pihak.

“Kalau keadaan kewangan Kerajaan Persekutuan tidak begitu baik, kita pun tidak boleh juga memberi tekanan kepada mereka. Tapi berdasarkan formula (yang dicadangkan oleh Sarawak), senanglah (untuk mencapai persetujuan),” katanya.  – BERNAMA