KEPENGGUNAAN menjadi isu hangat baru-baru ini susulan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,500, pemansuhan subsidi ayam, telur, dan minyak masak tulen botol, dan peningkatan harga barangan yang membawa kepada kos sara hidup yang semakin membebankan. Terdapat pelbagai faktor yang mengakibatkan kenaikan harga barang termasuk kejatuhan nilai wang mata ringgit Malaysia, perang Rusia-Ukraine, kenaikan kos makanan mentah, dan kos pengimportan dan logistik yang semakin meningkat.
Keadaaan ini telah memberi impak jelas kepada rakyat Malaysia yang berhadapan dengan indeks harga pengguna yang meningkat kepada paras 125.9% bagi bulan April 2022 menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. Kenaikan harga bukan sahaja dilihat pada bahan makanan sahaja tetapi juga pelbagai perkhidmatan dan barangan seperti perumahan, bahan api, pengangkutan, penyelenggaraan isi rumah, dan kesihatan yang melaporkan inflasi antara 0.2%-4.1%.
Sebagai respons kepada pengingkatan harga barangan, pembentukan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 29 Jun 2022. Inisiatif yang disetujui oleh Kabinet dan dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ini bertujuan membantu rakyat Malaysia untuk menangani isu peningkatan kos hidup.
Tanggungjawab pasukan khas ini termasuk mengumpulkan maklumat daripada kementerian-Kementerian, agensi-agensi, dan orang umum serta merancangkan strategi dan menyelaraskan tindakan untuk menyelesaikan isu-isu mengenai inflasi. Penyelarasan antara kementerian, agensi, dan pertubuhan bukan kerajaan pada masa ini adalah penting agar polisi dan strategi ekonomi dan kepenggunaan dapat dirancang, dipantau, dilaksana, dan dinilai berdasarkan realiti kehidupan seharian rakyat Malaysia dan tidak berlakunya usaha yang tidak holisitik dan inklusif.
Inisiatif-inisiatif seperti Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP), Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM), Program Jualan Malaysia (PJM) dan pembentukan majlis-majlis seperti Majlis Pemulihan Ekonomi, Majlis Tindakan Ekonomi, dan Majlis Kos Sara Hidup jelas menunjukkan bahawa isu kepenggunaan dan kos sara hidup dipandang serius oleh kerajaan tetapi sama ada usaha-usaha ini berkesan untuk menangani isu-isu kepenggunaan perlu dikaji semula.
Ekosistem harga barangan dipengaruhi oleh faktor-faktor makroekonomi yang kebanyakan masanya di luar kawalan dan melibatkan lebih daripada satu kementerian. Contohnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mempunyai kuasa dalam pembentukan polisi ekonomi dan kepenggunaan serta pengeluaran barangan dalam bidang masing-masing. Hubungan kompleks dan rumit antara pelbagai elemen rangkaian harga barangan perlukah dijelaskan dan jaringan pemegang taruh yang menyeluruh perlu dibentuk untuk meningkatkan kebolehlaksanaan dan kerbekesanan sebarang inisiaitf.
Penglibatan belia dalam pemeliharaan hak pengguna dan menyokong inisiatif kerajaan pusat adalah penting kerana isu kepenggunaan merupakan satu agenda bersama. Golongan belia yang masih belajar, baru bergraduat, atau baru memasuki alam perkerjaan dan berada dalam kategori B40 atau M40 jelas terkesan dengan kenaikan harga barangan seperti yang dilaporkan di rangkaian kedai serbaneka termasuk Eco Shop dan Ninso. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) berkerjasama untuk mengerakkan Skuad Sukarelawan Belia yang berobjektif untuk menjadi “mata dan telinga” kepada pihak kerajaan dalam memastikan kepentingan pengguna adalah dilindungi serta terpelihara. Jalinan hubungan strategik antara bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara and struktur MBM yang merangkumi badan-badan gabungan dan majlis-majlis belia pada peringkat negeri dan daerah membolehkan sukarelawan belia dimobilisasikan dengan lebih berkesan dan pemantauan skop kawasan yang lebih luas.
Ini boleh membantu pencegahan peningkatan harga barang yang tidak musnasabah dan melengkapkan mekanisma laporan insiden-insiden sebegini. MBM berharap inisiatif sukarelawan belia yang berfokuskan pemantauan harga barang ini dapat menjadi pelengkap kepada inisiatif sedia ada. Penglibatan belia dalam isu kepenggunaan patutlah diberikan sokongan kerana belia berpotensi memainkan peranan yang lebih proaktif dalam agenda kepenggunaan bukan sahaja dalam pemantauan tetapi juga advokasi, peningkatan kesedaran, dan lain-lain mengikut kapasiti individu dan persatuan masing-masing.
Keprihatinan terhadap isu-isu kepenggunaan perlu dilengkapi dengan pengetahuan yang berdasarkan fakta dan bukti. Terdapat banyak ilmu yang boleh dipelajari untuk menjadi seorang pengguna bijak, contohnya, kefahaman terhadap Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 723), bahagian-bahagian KPDNHEP yang terlibat dalam pelbagai aspek kepenggunaan seperti perancangan, penyelarasan, pemantauan, dan penguatkuasaan, aplikasi Price Catcher untuk perbandingan harga, impak cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap ekonomi negara, dan sebagai-bagainya.
Selain itu, kos sara hidup yang semakin meningkat juga merupakan satu ujian kepada pengurusan kewangan individu dan kekeluargaan. Bagaimanakah seseorang dapat membuat penjimatan dan meminimakan perbelanjaan yang tidak perlu atau tidak penting? Bagainmanakah sesebuah keluarga dapat meningkatkan pendapatan melalui ekonomi gig atau usaha buat sendiri (DIY)? Bagaimanakah duit sedia ada boleh dimanfaatkan untuk menjanakan pendapatan pasif seperti membuat pelaburan?
Peningkatan kos sara hidup sudah menjadi satu hakikat yang perlu dihadapi oleh kita semua. Kita haruslah mengharungi cabaran ini secara proaktif dan bukanlah hanya membuat aduan, keluhan atau dakwaan semata-mata. Jom kita melihat isu kepenggunaan secara rasional, bukanlah beremosi!
Oleh: Eow Shiang Yen
Exco Majlis Belia Malaysia