Wanita yang didakwa menghina Islam dengan membuka tudung dan baju kurungnya dalam sebuah persembahan komedi di sebuah kelab di Taman TTDI akan didakwa bersama teman lelakinya di mahkamah esok.

PETALING JAYA – Seorang wanita yang didakwa menghina Islam dengan membuka tudung dan baju kurungnya ketika membuat persembahan komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur sudah ditahan polis malam tadi.

Menurut sumber, wanita dikenali Siti Amira Natasha Abdullah, 28, ditahan pada pukul 10.45 malam di Taman Jaya, Jalan Gasing, di sini.

“Suspek yang mendakwa berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu telah ditangkap oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Polis turut melakukan pemeriksaan ke atas wanita itu dan berjaya merampas beberapa barangan antaranya baju kurung, tudung, skirt pendek dan telefon bimbit yang dipercayai dipakainya semasa membuat persembahan komedi itu,” ujar sumber itu hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita buka baju, hina Islam disiasat – Polis

Kelab komedi buat laporan polis kes wanita guna premisnya hina Islam 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi petang ini telah mengesahkan penahanan wanita itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin menerusi satu kenyataan ringkas sebentar tadi mengesahkan wanita yang ditahan itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini 10 Julai hingga 12 Julai 2022.

“Suspek kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields buat masa sekarang dan siasatan masih di teruskan ke atas individu tersebut,” tegasnya.

Dalam kenyataan semalam, Noorsiah menjelaskan bahawa, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah membuka satu kertas siasatan dan memulakan siasatan bagi menyiasat penularan video itu.

Katanya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298a Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Baru-baru ini, tular rakaman video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita berpakaian sopan menaik pentas dan menanggalkan tudung dan pakaiannya di khalayak ramai ketika membuat persembahan komedi solo.

Wanita itu memperkenalkan diri sebagai penganut beragama Islam dan menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum mula menanggalkan pakaiannya dan menggantikan dengan baju singlet dan skirt pendek. – MalaysiaGazette