Penduduk membuat bantahan mengenai isu Stadium akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil dan akan mengurangkan kapasiti 30,000 hing­ga 40,000 penonton ketika di Stadium Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Jawatankuasa Selamatkan Stadium Shah Alam membantah sekeras-kerasnya cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membangunkan projek pembangunan bercampur berkepadatan tinggi di kawasan sama.

Pengerusinya, Datuk Salamon Selamat berkata, cadangan itu bukan sahaja bertentangan dengan dasar perancangan asal pembangunan fasiliti sukan itu, bahkan memberi kesan negatif kepada penduduk sekitar Seksyen 13.

Salamon Selamat

“Jawatankuasa ini menggesa Stadium Shah Alam dikekalkan dan dibaikpulih dengan segera.

“Satu pasukan pengurusan khas hendaklah dibentuk yang dianggotai oleh ahli-ahli profesional untuk mengurus dan menyelenggara stadium ini.

“Dengan itu, Stadium Shah Alam boleh berdikari dari segi kewangan, berdaya maju dan berdaya saing untuk menjadi gelanggang rasmi pasukan bola sepak Selangor,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Stadium Shah Alam, di sini, hari ini.

Pada 29 Jun lalu, media melaporkan gelanggang rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants itu didakwa akan diroboh dan digantikan dengan sebuah stadium baharu yang lebih kecil.

Keadaan Stadium yang rosak dan lama tidak diselenggara berikutan akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil dan akan mengurangkan kapasiti 30,000 hing­ga 40,000 penonton ketika di Stadium Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2022.

Stadium baharu didakwa berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton itu lebih mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300 orang.

Menurutnya, perobohan stadium itu adalah satu tragedi sedih yang tidak dapat dilupakan oleh rakyat Selangor dan generasi akan datang.

“Stadium ini adalah salah satu ikon warisan sejarah pembangunan Shah Alam ibu negeri Selangor kebanggaan rakyat. Ia juga menjadi lambang kejayaan dan kecemerlangan pembangunan sukan terutama bola sepak Selangor.

“Malah bantahan kami telah dihantar kepada Menteri Besar Selangor pada 7 Julai 2022,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast