KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji didakwa tidak berlaku adil kepada para pendeposit yang menunggu giliran untuk mengerjakan rukun Islan kelima itu menjadi punca kes jemaah terkandas terus berlaku di negara ini.
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mendakwa, ketidakadilan itu menyebabkan ada para pendeposit TH yang menunggu giliran membuat rayuan demi rayuan.
Sedangkan pada masa sama, dakwanya, ada dalam kalangan pendeposit mendapat tawaran mengerjakan haji bagi kali kedua dan ketiga.
Presiden MATA, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, isu ini menyebabkan individu yang menunggu giliran mudah terpedaya dengan pakej-pakej haji oleh ejen pelancongan yang sudah merancang mengambil peluang ini pada saar-saat akhir.
Justeru, katanya, salah laku pengurusan giliran ini harus diperbetulkan dan mereka yang menyalahgunakan kuasa harus diambil tindakan sewajarnya.
Beliau turut mendakwa, pelantikan Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang sama oleh TH setiap tahun juga menyumbang kepada masalah ini.
Mohd Khalid mendakwa, PJH yang mendapat lesen dengan peruntukan visa haji khas diambil daripada peruntukan visa negara ini bebas mempromosi dan mendapatkan jemaah yang telah mendapat tawaran khas dari TH untuk mengerjakan haji pada tahun itu mengikut harga pakej masing-masing.
Katanya, pakej ini adalah pakej haji swasta.
“Disebabkan TH memberi kontrak ini kepada syarikat yang sama sejak beberapa tahun lalu, sudah pasti timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan industri yang menawarkan umrah.
“Sistem pengagihan lesen PJH ini disebut kartel TH kerana kenapa tidak proses ketelusan dan keterbukaan untuk memberi peluang kepada syarikat yang benar-benar mampu mengurus dan mengendalikan jemaah haji secara berkumpulan.
”Saya mendapat laporan ada agensi pelancongan mendapat visa haji secara rundingan khas dengan pengurusan tertentu TH tanpa lesen PJH.
“Kalau ini benar-benar terjadi perkara ini perlu mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan satu siasatan wajib dijalankan dengan kadar segera,” tegasnya.
Mengulas lanjut mengenai isu penipuan visa kepada bakal jemaah haji, Mohd Khalid berkata, Visa Furoda banyak disalahertikan oleh pengusaha pakej haji.
Ini kerana, hanya mereka yang mendapat visa haji pada tahun itu daripada Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur atau pihak berkuasa Arab Saudi sahaja boleh mengerjakan haji dengan sendiri.
”Visa haji ini benar dan mereka yang memperolehnya boleh menggunakan ejen-ejen pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atau urus sendiri.
“Biasanya mereka akan membeli Pakej Mujamalah daripada portal Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan visa ini adalah percuma,” tambahnya.
Tetapi ada pihak yang mendapat visa ini telah memperdagangkannya kepada individu lain dengan menawarkan harga mencecah AS$6,000 – maka jadilah visa haji Furoda.
“Inilah cara mereka mengaut keuntungan yang berlebihan,” dakwa beliau.
Mohd Khalid menyifatkan hampir 400 individu yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini sudah masuk perangkap scammer.
Dakwanya, syarikat ejen terbabit sudah merancang lebih awal untuk menipu dengan mendakwa lesen yang dimiliki boleh mengurus dan mengendalikan haji Furoda.
Apatah lagi tiada badan mengawal selia mereka dan pakej haji itu pun bukan di bawah MOTAC.
Mohd Khalid yang sedih dengan kejadian tersebut mahu kes-kes penipuan ini dijadikan pengajaran kepada pihak berkuasa.
Pihak berkuasa perlu mencari jalan membanteras kejadian ini daripada berulang saban tahun.
“Jadikan kes ini satu jenayah berat dengan hukuman penjara,” katanya. – MalaysiaGazette