SHAH ALAM – Aktiviti pencerobohan hutan simpan Bukit Cherakah seolah-olah tiada penghujungnya, biarpun pihak berkuasa sudah merobohkan binaan haram yang dijadikan kebun durian sejak 13 Januari lalu, namun ia didakwa berulang semula.
Pencerobohan kali ini bukan berskala besar seperti sebelum ini, sebaliknya binaan haram baharu dibina pula di lereng bukit bersebelahan Taman Bukit Bayu U10 yang boleh mengundang ancaman tanah runtuh.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati, binaan haram itu dibina di atas zon penampan kawasan perumahan terbabit seluas 10 kaki hingga ke lereng bukit dengan struktur kekal seperti dinding batu, lantai bersimen dan pagar besi yang diubahsuai.
Perkara itu disahkan oleh salah seorang penduduknya, Dr Joshua Emmanuel yang memberitahu pencerobohan itu dilakukan individu sama yang menceroboh tanah hutan simpan Bukit Cherakah sebelum ini.
“Lepas operasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), anggaran tiga ke empat bulan lepas, aktiviti tersebut bermula sekali lagi.
“Dia mula bina balik pagar 10 kaki di sempadan zon penampan di lereng bukit, bina tiang besi sempadan rumah dan tangki air dinaikkan macam biasa. Kita pun rasa bimbang kerana kawasan perumahan ini terletak di lereng bukit.
“Kalau kita bina pagar dan lantai dengan simen, takut nanti jadi tanah runtuh sebab semua struktur ini berat. Kita tak nak perkara seperti di Taman Melawati dan Ampang berlaku sekali lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette di kediamannya di Taman Bukit Bayu U10, di sini, hari ini.
Pada 13 Januari lalu, kira-kira 40 anggota penguatkuasa daripada MBSA Pejabat Tanah dan Daerah Petaling serta Air Selangor melakukan kerja-kerja perobohan binaan haram itu.
Persatuan Pemilik dan Penduduk Taman Bukit Bayu U10 memberitahu, hampir empat jam kerja-kerja perobohan itu dilakukan tiga pihak berkuasa ini, bermula dengan pagar, tangki air hingga laluan berbumbung haram yang kemudiannya dilupuskan menggunakan lori MBSA.
Pada 13 Disember tahun lepas, MalaysiaGazette mendedahkan kira-kira setengah ekar tanah hutan simpan Bukit Cherakah, di sini, didakwa diceroboh oleh salah seorang penduduk Taman Bukit Bayu U10 tujuan pertanian komersial.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, tanah terbabit dibersihkan dan kelihatan beberapa pekerja dipercayai warga asing sedang melakukan kerja-kerja penyiraman dipercayai tapak semaian pokok durian.
Pencerobohan tanah hutan simpan itu didakwa dilakukan sejak Jun 2021, ketika negara masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Susulan insiden itu, Dr Joshua mendakwa tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa terbabit biarpun aktiviti pencerobohan itu didapati dilakukan individu yang sama sejak empat bulan lalu.
“Saya sudah maklumkan kepada pihak MBSA dan sebagainya, tapi hingga sekarang memang tiada apa-apa tindakan dilakukan pihak berkuasa.
“Kerana perbuatan individu ini, semua jiran terpaksa menanggung bebannya, jika berlaku tanah runtuh, semua orang mungkin kena pindah ke tempat lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette