GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan digesa campur tangan dan bertindak dalam mengurangkan risiko bekalan air melibatkan Sungai Muda yang boleh menjejaskan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan lebih 80 peratus air mentah diabstrak setiap hari oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dari Sungai Muda.
Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, sebarang kejadian yang melibatkan Sungai Muda akan menjejaskan perkhidmatan bekalan air kira-kira 80 peratus daripada penduduk dan perniagaan yang berpusat di negeri ini.
“Kesan banjir kilat di Baling, Kedah baru-baru ini telah membuktikan perkara ini adalah fakta. Air banjir itu menyebabkan kekeruhan air mentah dari Sungai Muda meningkat sehingga 3,000 NTU.
“Kekeruhan air Sungai Muda terlalu tinggi sehingga memaksa PBAPP menghenti tugas loji rawatan air (LRA) Sungai Dua dan penutupan LRA terbesar dan terpenting di Pulau Pinang menjejaskan perkhidmatan bekalan air di sini selama enam hari,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Kon Yeow, untuk meminimumkan risiko berulang, pihaknya menyeru Kerajaan Persekutuan menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (UMBA) untuk memulihara, mengurus dan melindungi seluruh lembangan sungai Sungai Muda sebagai aset air Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)
Jelas beliau, sekiranya Kerajaan Persekutuan serius untuk membangunkan NCER dengan betul, ia harus memberi tumpuan kepada mendapatkan sumber air terlebih dahulu.
“Pihak berkenaan perlu menghentikan pembalakan di Ulu Muda untuk mengurangkan risiko lebih banyak banjir kilat. Malah, menebang hutan hujan juga akan menjejaskan prestasi Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air terpenting NCER.
“Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga perlu halang Kedah daripada melaksanakan projek lapangan terbang Kulim dan cadangan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di lembangan sungai Sungai Muda.
“Projek lapangan terbang Kulim juga akan membuang berjuta-juta liter kumbahan ke anak sungai Sungai Muda setiap hari,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan penyiapan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP).
Jelasnya, pemulihan operasi pengeluaran air di LRA Sungai Dua dan pemulihan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang telah tertangguh kerana PBAPP hanya boleh melepaskan 300 juta liter air terawat sehari dari Empangan Mengkuang dalam senario kecemasan.
Katanya, fasa 2B MDEP mesti disegerakan untuk meningkatkan kapasiti pelepasan kepada 600 juta liter air terawat sehari.
Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).
Katanya, Sungai Muda telah menjadi sumber air mentah utama Pulau Pinang sejak tahun 1973 dan Pulau Pinang sangat memerlukan sumber air mentah kedua.
“Kerajaan neeri Pulau Pinang dan PBAPP telah membuat cadangan pelaksanaan SPRWTS sejak 2011.
“Sehingga hari ini, Kerajaan Persekutuan menegaskan Kerajaan Pulau Pinang perlu berunding terus dengan kerajaan Perak.
“Kita telah menghadiri beberapa sesi rundingan langsung tetapi tidak berjaya,” kata beliau. – MalaysiaGazette