Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Bilah Zamzuri bercakap kepada media selepas Program Ibadah Korban DUN Kota Anggerik di Pangsapuri Seksyen 7, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 12 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam mempersoalkan ke mana perginya dana bernilai RM2.4 juta yang diperuntukan kerajaan negeri untuk pembangunan sukan di Selangor.

Ketuanya, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, dana yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tahun lepas didakwa masih tidak digunakan termasuk memberi wajah baharu kepada Stadium Shah Alam.

“Stadium Shah Alam yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf keseluruhan kompleks bermula tahun depan, maknanya 2022 sepatutnya sudah bermula.

“Perkara yang kita nak tanya, soal roboh atau tidak, itu perkara nombor dua, soalnya peruntukan itu sudah lulus, jadi apa yang dilakukan?

“Adakah masuk (dana) dalam MBI (Menteri Besar Incorporated) atau sebaliknya? Kita pun tak tahu.

“Adakah duit ini (jadi) pusingan (modal) oleh kerajaan negeri atau anak-anak syarikat, kita tak tahu mana pergi duit ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Pada 29 Jun lalu, media melaporkan gelanggang rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants itu didakwa akan diroboh dan digantikan dengan sebuah stadium baharu yang lebih kecil.

Stadium baharu didakwa berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton itu lebih mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300 orang.

Dalam pada itu, Dendera Billah turut mempersoalkan kelewatan kerajaan negeri dalam membelanjakan dana tersebut kerana sehingga kini tiada pembangunan sukan.

“Kalau sudah ada duit, kenapa tidak diteruskan (pembangunan sukan) dan Menteri Besar keluarkan kenyataan demi kenyataan.

“Saya rasa perkara ini harus dilaksanakan dan kerajaan negeri harus telus dengan bajet dan peruntukan yang diluluskan oleh DUN Selangor,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari masih gagal memberi penjelesan mengenainya, pihak berkuasa disaran menyiasat perkara tersebut.

“Jika ada masalah kewangan dan sebagainya, pihak tertentu termasuk SPRM boleh menyiasat.

“Ini soal duit rakyat, dan bukan sikit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast