Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi bercakap kepada media ketika membuat laporan polis berhubung isu persenda Islam di sebuah kelab komedi di Ibu Pejabat Polis Brickfields, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 13 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pemilik sebuah kelab komedi yang dikenali sebagai Rizal harus diambil tindakan tegas kerana membenarkan persembahan seorang wanita yang mempersenda agama hingga menanggalkan pakaiannya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi berkata, pemilik Crackhouse Comedy Club itu juga terlibat dalam persembahan komedi dengan mengutuk agama Islam dan menyindir orang Melayu.

“Saya minta pihak polis jalankan siasatan terhadap Rizal kerana dia individu yang membuka ruang kepada stand-up comedian termasuk wanita itu menghina bangsa-bangsa yang lain. Ini bukan soal bangsa Melayu sahaja, tetapi apa jua bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, hari ini.

Yusuf Azmi (tengah) menunjukkan laporan polis berhubung isu persenda Islam di sebuah kelab komedi di Ibu Pejabat Polis Brickfields, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 JULAI 2022.

Tegas Yusuf, beliau tidak teragak-agak untuk melakukan mogok di hadapan kelab berkenaan selagi tindakan penutupan premis itu tidak dibuat oleh pihak berkuasa.

Jelasnya, sebarang persembahan hiburan perlulah menjaga batasan agar tidak menyentuh keharmonian agama dan bangsa.

“Kita perlu ada sensitiviti, tidak boleh menghina budaya, agama dan bangsa. Bukan semua perkara boleh dijadikan bahan komedi kerana Malaysia ini ada pelbagai bangsa dan agama,” tegasnya.

Turut hadir, pengarah filem Syamsul Yusof dan pelawak Shahrol Shiro serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong tindakan tegas terhadap pelaku yang menghina agama dan bangsa di negara ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton dengan mendakwa dirinya penganut agama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.

Hari ini, tertuduh Siti Nuramira Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Siber Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni sesama Islam selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mahkamah menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette