IPOH – Empat maut dalam kemalangan membabitkan tujuh buah kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan menghala Simpang Pulai di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.02 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi pihak bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan enam kereta dan sebuah treler.
“Pemeriksaan lanjut mendapati empat mangsa tersepit di dalam sebuah kereta yang dinaik bersama.
“Operasi mengeluarkan mangsa membabitkan seorang lelaki dan tiga wanita dilakukan segera menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambahnya, kesemua mangsa yang dikeluarkan dari kenderaan itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat jam 4.16 petang,” ujarnya. – MalaysiaGazette