KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka berada pada purata RM5,300 satu tan pada separuh kedua 2022, lebih rendah berbanding tempoh separuh pertama.
Ini adalah disebabkan jangkaan bekalan minyak sayuran global yang lebih tinggi, pengeluaran MSM yang kian meningkat pada suku ketiga, serta eksport minyak sawit yang rendah, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ini berlaku selepas Malaysia mencatatkan eksport lebih tinggi apabila pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu mengehadkan eksport minyak sawitnya berikutan beberapa langkah yang dilaksanakan seperti larangan eksport selama tiga minggu yang dikenakan mulai 28 April dan obligasi pasaran domestik (DMO) untuk memastikan ketersediaan bekalan domestik.
Dalam tempoh enam bulan pertama 2022, MSM diniagakan 55.9 peratus,atau RM2,268.50, lebih tinggi pada RM6,330.00 satu tan secara purata berbanding RM4,061.50 satu tan pada Januari-Jun 2021. Pada Mei 2022, purata harga MSM mencecah rekod tertinggi RM6,873.00 satu tan.
Beliau berkata, pada separuh pertama (Jan-Jun) 2022, eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit lain (POPP) berjumlah sehingga 11.47 juta tan, meningkat 2.8 peratus berbanding 11.15 juta tan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil produk berasaskan sawit melonjak pada separuh pertama 2022
Ahmad Parveez berkata harga produk minyak sawit yang lebih tinggi telah melonjakkan hasil eksport POPP sebanyak 55.2 peratus kepada RM67.48 bilion pada H1 2022 daripada RM43.47 bilion dalam tempoh yang sama 2021.
Eksport minyak sawit sahaja meningkat 1.7 peratus kepada 7.19 juta tan daripada 7.08 juta tan sebelumnya atau 62.8 peratus daripada jumlah eksport POPP dalam tempoh yang dikaji manakala hasil eksport minyak sawit meningkat dengan ketara sebanyak 54.5 peratus tahun ke tahun kepada RM44.63 bilion daripada RM28.88 bilion, didorong oleh harga yang lebih tinggi.
“Sejurus selepas industri mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan tahun ini, perang Rusia-Ukraine meletus dan ini telah mengganggu rantaian bekalan minyak bunga matahari global, sekali gus mendorong permintaan terhadap minyak sawit sebagai alternatif kepada minyak bunga matahari.
“Selain itu, larangan Indonesia terhadap eksport minyak sawit pada 28 April memberi tekanan lanjut ke atas permintaan minyak sawit, dan ini menolak naik harga minyak sawit yang mengakibatkan beberapa penguncupan permintaan dalam beberapa pasaran,” katanya.
Harga minyak sawit bagaimanapun mula menurun dengan cepat apabila Indonesia menarik balik larangan itu pada 23 Mei.
Bekalan buruh perlu ditangani segera
Menurut MPOB, kekurangan buruh masih merupakan antara cabaran yang sedang ditangani oleh pihak berkepentingan industri.
Sejak 2021, terdapat lebih banyak gangguan dalam bekalan buruh di ladang kelapa sawit.
Persatuan Pemilik Ladang Malaysia menerusi kenyataan dikeluarkan bulan lepas menganggarkan industri kelapa sawit mengalami kekurangan 120,000 pekerja.
Statistik MPOB menunjukkan terdapat penurunan jumlah guna tenaga dalam sektor perladangan sebanyak 6.2 peratus pada bulan Mei 2022 berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Hampir semua kategori kerja di ladang mengalami penyusutan dengan kemerosotan paling tinggi adalah bagi kategori pekerjaan – pekerja lapangan (menabur baja, merumput dan mencantas) selain pekerja menuai serta pengumpul tandan buah segar dengan penurunan, masing-masing sebanyak 8.5 peratus dan 6.8 peratus.
MPOB berkata sekiranya mMasalah kekurangan tenaga kerja tidak ditangani dengan bijak, dikhuatiri menjejaskan daya saing sektor perladangan kelapa sawit Malaysia.
Prospek separuh kedua 2022
Pada separuh kedua 2022, negara dijangka menghasilkan 10.20 juta tan MSM, menjadikan jangkaan jumlah pengeluaran sebanyak 18.50 juta tan pada 2022.
Pengeluaran MSM tahun ini diunjur meningkat sedikit sebanyak 2.1 peratus berikutan jangkaan terdapat peningkatan dalam kawasan tanaman matang dan keadaan cuaca yang menggalakkan.
“Namun begitu, situasi tenaga buruh dalam sektor perladangan kelapa sawit telah menyebabkan pengeluaran MSM menjadi jauh lebih rendah daripada senario perniagaan seperti biasa yang berpotensi menghasilkan hampir 20 juta tan,” kata Ahmad Parveez.
Beliau menambah secara purata, 90 peratus daripada pengeluaran minyak sawit Malaysia pada separuh kedua 2022 akan dieksport berikutan jangkaan permintaan minyak sawit yang lebih kukuh daripada negara-negara pengimport utama.
Justeru, jumlah eksport minyak sawit pada separuh kedua 2022 dijangka sebanyak 9.20 juta tan yang membawa kepada jangkaan jumlah eksport minyak sawit sebanyak 16.65 juta tan pada 2022.
Sementara itu, stok penutup minyak sawit pada 2022 diunjurkan sebanyak 1.85 juta tan.
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Thong Pak Leng, harga minyak sawit diramalkan kekal tinggi selepas separuh pertama tahun 2022 dan memasuki tahun 2023.
“Memandangkan bekalan minyak dan lemak antarabangsa sudah sedia ketat, konflik Rusia-Ukraine telah menambahkan lagi masalah bekalan itu,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis CGS-CIMB Ivy Ng Lee Fang dan Nagulan Ravi pula berkata kelemahan MSM pada separuh kedua 2022, ditambah dengan kos operasi yang lebih tinggi berikutan kenaikan gaji minimum di Malaysia kepada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei 2022, kos baja yang lebih tinggi serta Cukai Makmur, akan membawa kepada margin keuntungan yang lebih rendah pada separuh kedua 2022 melainkan produktiviti bertambah baik. – BERNAMA