PETALING JAYA – Pihak pembelaan yang mewakili penyanyi terkenal, Muhammad Radhi Razali atau dikenali Radhi OAG akan menghantar representasi berhubung pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, dalam kejadian pada April lalu.
Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili Radhi iaitu, Haziq Aizuddin Subhi hari ini.
Peguam itu berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan untuk menghantar representasi tersebut.
“Mahkamah telah menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes seterusnya dan pada tarikh itu sama ada kita akan masukkan representasi atau perbicaraan kes seterusnya ,” kata peguam itu ketika ditemui media selepas prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
Dalam pada itu, bercakap kemudian kepada pemberita di pekarangan mahkamah, Radhi memaklumkan bahawa dia mengharapkan penyelesaian dengan cara baik bersama bekas isterinya itu.
Katanya, masa depan anak-anak menjadi keutamaan beliau dan mendorong untuk mengambil tindakan representasi itu.
“Saya fikir anak-anak. Jika kes ini diteruskan lagi, kita akan terus turun naik mahkamah yang juga akan mengeluarkan kos,” katanya lagi.
Sebelum ini pada 22 April yang lalu, Radhi, 45, telah didakwa di mahkamah Petaling Jaya kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya Nur Shaira Ayu Zahiri, 28.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu ke atas Nur Shaira pada pukul 2.29 petang pada 19 April lalu di parkir Emporis Menara D Kota Damansara di sini.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya.- MalaysiaGazette