KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 26 tahun yang didakwa menghina Islam di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail, di sini, akan berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Beliau yang diiringi dua anggota polis kelihatan tersenyum ketika tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, kira-kira jam 9 pagi.
Teman lelaki tertuduh yang berusia 38 tahun difahamkan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada hari ini.
Pada Sabtu lalu, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya dan dia direman empat hari sehingga hari ini, manakala teman lelakinya ditahan pada Ahad dan direman selama tiga hari.
Sebelum ini, orang ramai dikejutkan dengan penularan rakaman video berdurasi 54 saat di media sosial yang memaparkan seorang mendakwa berketurunan Melayu, beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran membuka tudung serta baju kurung dipakainya dan mendedahkan pakaiannya iaitu baju terdedah sebahagian dada tanpa lengan serta memakai skirt pendek yang menampakkan sebahagian paha selepas memperkenalkan diri. – MalaysiaGazette