SEBERANG PERAI – “Bukan yang pergi satu atau dua tetapi empat sekali gus ahli keluarga saya hilang dalam satu masa dan ia memang betul-betul menyedihkan,”.
Demikian luah Muhammad Hazman, 20, anak bongsu kepada pasangan Rahim Ramli serta Siti Petimah Omar yang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Perak bersama dua lagi anak perempuannya, Nor Nadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27.
Menurut Muhammad Hazman, dia mendapat perkhabaran hiba itu daripada kakaknya, Nor Fatini, 22, ketika dia sedang mengikuti program latihan praktikal di Perlis.
Jelasnya, dia tidak sangka perjalanan ahli keluarganya dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur untuk menghantar kakak sulungnya, Nor Nadirah bekerja di sebuah syarikat laman web video berakhir dengan tragedi hitam buat dirinya.
“Saya balik sehari sebelum Hari Raya Aidiladha dan baru pulang semula ke Perlis pada Selalu lalu.
“Tiada sebarang kelakuan pelik ditunjukkan mereka berempat malah macam biasa pagi raya saya salam dengan mak dan dia hanya renyih (senyum) sama juga dengan ayah.
“Rutin kami berjalan seperti biasa dan saya sempat bawa kesemua kakak saya beraya serta ziarah rumah saudara kami dan memang tiada benda yang pelik berlaku menyebabkan tragedi yang menimpa kami ini sesuatu yang tidak dijangka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Masjid Jamek Tuan Haji Abdul Latiff di Permatang Pasir di sini, awal pagi tadi.
Mengulas lanjut Muhammad Hazman berkata, dua kakaknya yang meninggal dunia dalam kemalangan itu merupakan anak sulung serta kedua daripada empat beradik.
“Saya dan kakak (Nor Fatini) menjadi yatim piatu sekelip mata,” katanya dengan nada sebak.
Terdahulu, Nor Fatini dilihat memeluk erat adiknya ketika empat jenazah ahli keluarga mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini.
Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi pengkebumian mendapati Nor Fatini menangis sebaik jenazah ahli keluarganya tiba di masjid sebelum ditenangkan saudara mara yang turut hadir.
Jenazah empat beranak yang maut dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 277.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Ipoh, Perak petang semalam, selamat disemadikan awal pagi tadi.
Keempat-empat mereka iaitu Rahim Ramli, 60, yang merupakan pesara polis, isterinya Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak perempuan, Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27 tahun disemadikan dalam satu liang di Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi. – MalaysiaGazette