KOTA KINABALU – Para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menikmati menu makanan berkualiti di kafeteria kolej kediaman masing-masing dengan harga serendah RM3.50 bermula esok.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dalam satu kenyataan media hari ini berkata, usaha tersebut bagi menyahut saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar Institusi Pengajian Tinggi menyediakan jualan makanan dalam kampus pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.
”Selaras dengan saranan tersebut, pihak pengurusan UMS telah mengadakan perbincangan dengan para pengusaha kafeteria di kolej kediaman milik UMS dan telah mendapat persetujuan agar setiap pengusaha menyediakan menu makanan
dengan harga siling serendah RM3.50.
”Walaupun dengan harga yang lebih murah, namun pihak UMS tidak akan berkompromi berkenaan isu penyediaan menu makanan yang berkualiti, dan akan memastikan setiap pelajar menikmati hidangan makanan yang lengkap dan bernutrisi,” katanya.
Beliau percaya usaha pengurusan universiti ini membantu pelajar berdepan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup, sekali gus mengurangkan beban kewangan pelajar UMS secara keseluruhan terutama pelajar dalam kelompok B40,” kata Raman.
Untuk rekod, terdapat sejumlah 13,179 pelajar B40 di UMS, terdiri daripada 4,215 pelajar lelaki dan 8,964 pelajar perempuan.
Bagi membantu pengusaha kafeteria menangani isu kenaikan harga barangan yang turut memberi kesan kepada harga makanan semasa, moratorium bayaran sewa selama enam bulan juga diberikan kepada pengusaha kafeteria mulai bulan ini.
Langkah tersebut dijangka mampu membolehkan tanggungan kos sewa diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar memandangkan peningkatan harga barangan turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.
Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin memberi jaminan di bawah inisiatif #UMSPeduli, pihak universiti akan meneruskan serta memperkasakan pelaksanaan program Food Bank Siswa UMS yang telah
diperkenalkan sejak tahun 2019.
Terbaru, menerusi Pusat Islam UMS telah dilancarkan ‘Dapur Rahmah’ bagi menggalakkan aktiviti gotong-royong dalam penyediaan jamuan untuk majlis atau program rasmi universiti.
”Inisiatif Food Bank Siswa ini tidak terhad kepada pelajar dalam kampus sahaja, malah UMS juga ambil peduli terhadap beban ditanggung oleh pelajar yang tinggal di luar kampus,” ujarnya. – MalaysiaGazette