KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka membuka ruang kepada syarikat farmasutikal untuk menghantar kertas kerja mengenai produk canabidiol (CBD) sebelum digunakan untuk merawat penyakit tertentu di negara ini, tahun depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebagai permulaan, pihaknya akan mengeluarkan kerangka bagi pendaftaran produk CBD pada tahun ini.
“Selepas itu pihak NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) akan menilai kertas cadangan tersebut. Saya sasarkan pada tahun depan kita boleh mula daftar beberapa produk CBD.
“Tetapi yang penting bukan hanya produk itu sendiri, kita kena tengok kesahihan produk itu, kita kena tengok data dari segi keselamatan dan keberkesanan produk tersebut untuk penyakit-penyakit tertentu.
“Dari segi pendidikan dan pendedahan saintifik juga perlu diberi kepada pegawai-pegawai perubatan (sebelum digunakan) di Malaysia,” katanya kepada pemberita di Menara Worldwide Holdings, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pelancaran Laporan Kajian Persepsi Dadah oleh The Centre.
Dalam pada itu, Khairy berkata, untuk permulaan, produk CBD itu bukan untuk kegunaan rawatan sendiri, sebaliknya ia memerlukan nasihat atau preskripsi daripada pengamal perubatan.
“Jauh sekali tidak ada penggunaan ganja secara rekreasi, jadi dia terhad kepada produk-produk canabidiol sahaja, itu langkah pertama kita,” jelasnya.
Katanya, tindakan itu diambil sebagai langkah-langkah berhati-hati dan ia perlu selaras dengan amalan perubatan antarabangsa.
“Lebih baik kita mengambil langkah-langkah yang berhati-hati melihat kepada amalan antarabangsa dan juga data saintifik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette