KUALA LUMPUR – Kemahiran mengendalikan dron bukan lagi sekadar hobi mahupun aktiviti pada masa lapang sebaliknya ia sudah menjadi profesion penting dalam pelbagai industri kritikal di seluruh dunia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UCSI, Profesor Madya Dr Mabel Tan Hwee Joo berkata, teknologi dron kini semakin mendapat tempat dalam pelbagai industri termasuk sektor keselamatan, pertanian dan kejuruteraan.
”Dari sektor pertanian hingga ke kejuruteraan, dron digunakan secara meluas dan sudah tentu ia perlu dikendalikan oleh individu yang berkelayakan.
”Oleh itu kami mengambil inisiatif membuka ruang kerjasama dengan akademi latihan dron terbesar di Malaysia, DJI Academy Selangor untuk menyediakan kemahiran berkaitan teknologi dron ini,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) dengan DJI Academy Selangor.
UCSI dan DJI Academy akan menawarkan kursus melalui program pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh (ODL) serta ‘micro-credential’ dalam teknologi dron secara komprehensif kepada pelajar mahupun profesional yang sudah bekerja sebagai ruang untuk mereka menambah kemahiran ataupun meningkatkan kemahiran sedia ada.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DJI Academy, Jude Low Hong Giap berkata, kursus yang ditawarkan itu sesuai bagi individu yang mahu membangun kemahiran spesifik berkaitan dron.
”Program ini akan membantu individu kekal ada pekerjaan, beradaptasi dan kompetitif. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan UCSI dan untuk memenuhi keperluan masa hadapan, kita pastinya akan sediakan lebih banyak program latihan yang sesuai,” katanya.
Antara kursus yang ditawarkan termasuk fotografi udara, latihan pengendalian Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) dan penyelenggaraan UAS.
Perjanjian persefahaman ini ditandatangani oleh wakil Kolej UCSI, Dr Mabel Tan dan Naib Presiden Hal Ehwal Akademiknya, Profesor Madya Dr Chong Aik Lee sementara mewakili DJI ialah Jude Low serta Pengurus Pembangunan Perniagaan Teguh Inovasi (M) Sdn Bhd, Darren Teh Lai Chuan. – MalaysiaGazette