KUALA LUMPUR – Ekonomi global terus tidak menentu dengan banyak kelemahan dalam era pasca COVID-19, manakala gangguan rantaian bekalan, risiko geopolitik, harga minyak yang tinggi dan ketidakcukupan antara pembolehubah yang memberi impak kepada ekonomi global, kata seorang ahli ekonomi.
Ketua Ekonomi Juwai IQI Global Shan Saeed berkata inflasi harga global bermula disebabkan empat pembolehubah tersebut berada di luar kawalan kebanyakan penggubal dasar dan kerajaan.
“Dua perlima daripada ekonomi global berada dalam stagflasi, 40 peratus atau 77 negara yang kebanyakannya di Eropah, Afrika dan Amerika Latin,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Ahli ekonomi itu juga berkata berikutan konflik antara Ukraine dan Rusia, kesesakan rantaian bekalan dan seterusnya inflasi, unjuran ekonomi global disemak semula oleh bank-bank besar di seluruh dunia.
“Inflasi kekal tinggi di negara-negara maju berikutan peningkatan halaju wang. Pelonggaran kuantitatif (QE) tidak dapat memacu pertumbuhan kebanyakan negara.
“Bagaimanapun, inflasi di Asia kekal rendah berikutan dasar monetari yang berkesan oleh bank pusat. Terdapat jurang yang besar antara prospek inflasi di negara-negara maju dan Asia,” katanya.
NILAI AMBANG PARAS INFLASI: APA YANG BOLEH DITERIMA UNTUK EKONOMI?
Mengulas mengenai paras inflasi, Shan berkata ia bergantung kepada ekonomi dan kedinamikan negara untuk menentukan paras angka inflasi yang berbahaya.
“Tiada peraturan untuk paras inflasi dianggap boleh diterima atau tidak boleh diterima.
“Inflasi naik atau turun bergantung kepada mekanisme dasar monetari. Kestabilan harga dan pertumbuhan menjadi tumpuan utama semua bank pusat di seluruh dunia,” katanya.
Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi oleh penggubal dasar di seluruh dunia untuk angka inflasi dan paras inflasi yang boleh diterima adalah di bawah empat hingga lima peratus manakala paras yang tidak boleh diterima adalah melebihi 10 peratus.
“Daripada 42 negara besar yang dipaparkan di halaman majalah The Economist, lapan masih mencatatkan inflasi di bawah empat peratus. Enam daripada lapan itu berada di Asia Timur atau Asia Tenggara.
“Rantau itu turut termasuk kes kestabilan harga yang kecil,” katanya.
Merujuk majalah itu, katanya inflasi tidak tinggi di semua tempat dan inflasi yang tinggi bukan satu fenomena di seluruh dunia.
“Inflasi di Asia meningkat sejak Februari tetapi jauh lebih rendah daripada di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah,” katanya.
INFLASI EROPAH DIJANGKA KEKAL TINGGI
Shan berkata sementara itu, inflasi Eropah dijangka kekal tinggi berdasarkan peratusan inflasi tahunan zon euro dengan jangkaan pada Jun 2022 adalah 8.6 peratus, meningkat daripada 8.1 peratus pada bulan sebelumnya.
AS pula dijangka pada 9.1 peratus, Jepun (2.5 peratus), United Kingdom (9.1 peratus), Kanada (5.1 peratus) dan Jerman (7.6 peratus), katanya.
Beliau berkata inflasi turut dijangka kekal tinggi di banyak ekonomi maju untuk tempoh dua tahun akan datang.
“KDNK global telah melepasi paras US$104 trilion (US$1=RM4.44) sekali gus menjadi pencapaian baharu untuk era makroekonomi global.
“Walaupun pertumbuhan terus mencatatkan aliran meningkat, namun pemulihan dalam tempoh pascapandemik dilihat sukar dan terkekang disebabkan tekanan inflasi dan faktor eksogen,” katanya.
UNJURAN INFLASI MALAYSIA: BNM KEKALKAN KESTABILAN
Shan berkata menerusi perkongsian dalam sebuah buletin, Juwai IQI menjangkakan inflasi berada di antara 2.2 dengan 2.8 peratus bagi setahun penuh 2022.
“Inflasi global pula kekal tinggi dan dolar AS yang lebih kukuh menyebabkan mata wang negara pesat membangun akan kekal rendah.
“Justeru, penyusutan nilai mata wang mengakibatkan inflasi berlaku dalam ekonomi dan ini mendorong bank-bank pusat menaikkan kadar faedah,” katanya.
Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah melakukan langkah yang baik dalam mengekalkan kestabilan harga dan pertumbuhan dalam negara dengan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.25 peratus.
“BNM mempunyai banyak ruang untuk bertindak menurunkan kadar inflasi menerusi alat dasar monetari atau peningkatan nilai ringgit.
“KDNK Malaysia bagi 2022 diunjurkan berada di antara 4.00 dengan 5.00 peratus,” katanya.
Shan berkata unjuran yang memberangsangkan dan tekanan inflasi yang lemah menunjukkan ciri kestabilan makroekonomi yang berjaya.
“Malaysia terus kekal dalam radar pelabur global, didorong keyakinan terhadap ekonominya selain geografi strategik bagi perdagangan dan perniagaan,” katanya.
— BERNAMA