Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama penduduk Kg Sinompuru Sandakan menghantar memorandum Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah.

KUALA LUMPUR – Lebih 40 penduduk Kampung Sinompuru, Sungai Simpang, Sandakan di Sabah berdepan pengusiran apabila diminta keluar dari tanah mereka oleh sebuah syarikat yang memiliki aset berkenaan.

Walaupun penduduk itu sudah menduduki tanah itu lebih 40 tahun dan permohonan untuk memiliki geran tanah sudah dibuat beberapa kali tetapi didakwa tetap dipandang sepi pihak berwajib. 

Baru-baru ini mereka dimaklumkan tanah seluas hampir 175 hektar sudah dimiliki sebuah syarikat perladangan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah tampil membantu penduduk setempat terutamanya dari segi undang-undang dan rata-rata penduduk rasa tertindas dengan insiden menimpa mereka.

“Penduduk merasa tertindas dan nasib tidak terbela atas kejadian ini. Penduduk tempatan yang hanya mengamalkan hidup sara diri dan tiada tempat lain untuk berpindah. Tiada pampasan diberikan untuk membantu meringankan beban mereka berpindah.

“Usaha untuk memiliki tanah secara sah dibuat sejak tahun 1988 lagi. Penduduk kampung pernah melantik peguam dalam memudahkan urusan mereka tetapi permohonan mereka tidak dititikberatkan. Sebenarnya, isu pemilikan tanah ini sudah bermula sejak tahun 60-an lagi.

“Sejak 1964 lagi, permohon pertama iaitu Encik Solumin bersama-sama 79 penduduk tempatan turut membuat permohonan tanah dengan memasuki kawasan tersebut untuk menanam kelapa sawit, getah serta buah-buahan pada tahun 1988.

“Ketika itu penduduk mohon pertimbangan kepada Ketua Menteri Sabah pada ketika itu, Datuk Musa Aman agar Jabatan Tanah dan Ukur agar memperuntukkan tanah tersebut kepada penduduk bumiputera yang telah lama mendiami tanah tersebut.

“Kumpulan ini sedang berjuang untuk sekian lama namun mereka tetap diperlakukan sedemikian,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian selepas pihaknya bersama wakil penduduk bertindak menghantar memorandum bagi isu berkenaan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah.

Para penduduk telah diberi tempoh tiga bulan sejak Jun lalu untuk berpindah tanpa ada sebarang bantuan daripada pihak kerajaan untuk membantu memberi penempatan baharu.

Pada Jun lalu, empat rumah penduduk dirobohkan setelah syarikat berkenaan mendapat arahan mahkamah untuk menghalau penduduk berpindah.

Kata Hishamuddin lagi, pihaknya berharap sekiranya ada campur tangan tangan kerajaan bagi memastikan proses pengusiran penduduk kampung dapat ditangguhkan bagi membolehkan perbincangan dilakukan antara semua pihak terlibat.

“Kita meminta kerajaan memanggil syarikat dan wakil penduduk terlibat untuk berbincang tentang pampasan dan penempatan baharu. Jika kerajaan prihatin dan berperikemanusiaan bantulah penduduk di sini untuk meneruskan kehidupan dengan baik.

“Kita telah menyerahkan memorandum yang disampaikan kepada wakil kerajaan negeri iaitu Setiausaha Rendah (Operasi) Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Nordin Lossin dan beliau akan memanjangkan permintaan ini kepada Menteri KKTP, Datuk Seri Masidi Manjun untuk diadakan rundingan.

“Semoga mimpi buruk penduduk di sini dapat segera mendapat perhatian pihak berwajib, sekurang-kurangnya atas dasar kemanusiaan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast