Ketua AMK Cabang Klang, Mohamad Shahrul Adnan

KUALA LUMPUR – Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini dicemari dengan insiden barisan baharu kepimpinan yang dinafikan hak menjadi Perwakilan seterusnya mengundi untuk Majlis Pimpinan Pusat AMK.

Ketua AMK Cabang Klang, Mohamad Shahrul Adnan berkata, perkara ini berlaku di atas kelemahan pentadbiran pimpinan AMK lama yang dilihat bercanggah dengan perlembagaan parti secara keseluruhannya.

“Saya mendesak pihak penganjur untuk membenarkan semua pimpinan baharu AMK Cabang (G5) yang sah dan menang pada Pemilihan 2022 untuk menjadi Perwakilan dan seterusnya mengundi.

“Rata-rata Ketua-ketua AMK yang baru sahaja menang Pemilihan 2022 sedang dinafikan hak mereka untuk menjadi perwakilan dan mengundi di peringkat Majlis Pimpinan Pusat AMK.

“Antara justifikasi yang digunakan oleh pihak penganjur adalah menurut peraturan tetap AMK Malaysia iaitu Perkara 10.3.3 Peraturan Tetap AMK 2014 iaitu Ketua, Timbalan Ketua, Naib-naib Ketua AMK Cabang dan empat Perwakilan daripada setiap AMK Cabang yang  telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan  Muda Keadilan Cabang pada tahun tersebut.

“Ia juga menyebut, sekiranya mana-mana Cabang yang dipimpin oleh pimpinan AMK Cabang yang lama tidak membuat Mesyuarat Agung Tahunan, maka pimpinan yang baru sahaja dipilih juga tidak layak untuk menjadi Perwakilan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Katanya, perkara itu bercanggah sama sekali dengan Perlembagaan PKR di mana menurut Fasal 17.2C menyatakan bahawa Ketua Cabang, Timbalan Ketua Cabang, 3 Naib Ketua Cabang, Ketua AMK Cabang dan Ketua Wanita Cabang, dan lima wakil yang dipilih sebagai perwakilan di Mesyuarat Agung Cabang.

“Fasal 17.2 telah menjamin hak semua pimpinan teratas di peringkat Cabang (G7) yang menang Pemilihan parti untuk menjadi perwakilan tanpa syarat wajib perlu diadakan Mesyuarat Agung Cabang pada tahun sebelumnya oleh pimpinan lepas.

“Jadi, jangan nafikan hak kami sebagai kepimpinan baharu,” tulisnya lagi.

Hari ini bermula Kongres PKR Kali Ke-16 dimulakan dengan Kongres AMK dan Wanita. Kongres Nasional PKR akan mula bersidang pada esok dan lusa bertempat di IDCC, Shah Alam. – MalaysiaGazette