Datuk Seri Saifuddin Nasution

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) tidak boleh bergantung kepada isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menang Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, gabungan itu perlu menggunakan isu-isu rakyat yang dilihat lebih berkesan.

“Kami berpendapat, kami mesti guna masalah dan kemuka penyelesaian, jauh lebih penting untuk menang PRU,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Pemuda PKR di Shah Alam.

Bagaimanapun menurut beliau, usaha untuk menggunakan isu-isu yang dekat di hati rakyat memerlukan idea kolektif daripada pemimpin parti tersebut.

Sementara itu, Saifuddin yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kerajaan perlu berusaha untuk menyediakan bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Terdahulu beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian menggesa kerajaan membuka harga siling beras tempatan dan menetapkan harga siling ke atas beras import bagi menyelesaikan isu monopoli serta isu kemiskinan melibatkan petani.

Jelas beliau, ketika ini 30 peratus keperluan padi kepada negara, diimport.

“Kehidupan penanam padi terus tidak berubah. Kelompok ini amat dekat dengan kemiskinan.

“Di antara puncanya ialah polisi penetapan harga lantai padi RM1.20 dan harga siling beras tempatan RM2.60 yang mengakibatkan pendapatan penanam padi terus rendah.

“Keadaan semakin parah dengan peningkatan harga racun dan baja akibat perang Ukraine- Russia,” kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu. – MalaysiaGazette