KUALA LUMPUR – Saya minta maaf, saya emosi apabila bercakap mengenai Pemilihan PKR 2022, demikian luahan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau kelihatan sebak dan tidak dapat menahan air mata apabila mengenangkan pelbagai perkara berlaku ketika pemilihan parti itu baru-baru ini.
“Saya kasihkan parti, saya kasihkan semua. Tuhan sahaja yang mengetahui bagaimana rasanya.
“Dalam mana-mana pertandingan, mesti ada menang, mesti ada kalah. Itu biasa.
“Saya biasa kalah. Saya biasa kalah dalam hidup, tapi bermaksud saya memusuhi. Semua anggota adalah adik saya, anak saya.
“Bukan semua (perkara) mampu saya tangani, saya santuni, tetapi dalam hati saya sentiasa berdoa untuk semua,” katanya ketika ucapan Kongres Wanita PKR kali ke-16 di IDCC Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata, seharusnya semua anggota yang bertanding sama ada menang atau kalah harus kembali kepada asas iaitu adab.
“Adab seorang kawan dan lawan. Ada akhlak dan kesopanan. Orang Melayu misalnya, bukan hanya berbudi pada alam tetapi juga kepada makhluk, bukan hanya kawan dan lawan tetapi kepada langit dan bumi.
“Inilah (yang harus ada) sebagai seorang insan iaitu Adab, akhlak dan intergriti,” katanya.
Jelasnya, pemilihan parti yang sudah berakhir dan sewajarnya semua anggota Bersama-sama mengukuhkan parti.
“Jangan ada api dalam serkam. Jangan hancurkan apa yang telah kita sama-sama bina.
“Saya berharap semua anggota mempunyai sikap yang konsisten dan istiqamah dalam perjuangan parti selama ini dan terapkan titik persefahaman,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Wan Azizah turut menggesa tidak ada amalam berpuak-puak dalam parti dan menghindarkan diri daripada merasakan diri sebagai eksklusif.
“Kita perlu bersikap terbuka dan matang yang mampu menghadapi senario berbeza dalam soal pandangan dalam konteks keilmuan dan budaya intelek.
“Inilah pemulihan dan dinamika politik yang perlu ada dalam diri kita,” katanya.
Kongres Wanita PKR bermula hari ini bersama-sama Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Nasional akan berlangsung esok dan lusa di lokasi sama.
Pemilihan PKR yang penuh kontroversi bukan hanya ketika pemilihan calon, malah berlarutan hingga hari pengundian dan proses kiraan undi.
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang dipertanggungjawab mengendalikan pemilihan kali ini menerima pelbagai tempias, namun segala-galanya telah terjawab biarpun ada yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang diumumkan. -MalaysiaGazette