Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan gimik Program 'Blood Donation Drive' di Mid Valley, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pusat Darah Negara (PDN) dan Tabung Darah ketika ini berdepan kekurangan stok bekalan darah di seluruh negara dan pada masa sama permintaan dilaporkan terus meningkat.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana negara memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah setiap hari bagi menampung permintaan tinggi dalam kalangan pesakit memerlukan.

Justeru, beliau yang juga bekas Perdana Menteri menyarankan orang ramai menderma darah secara berkala, sekali gus menjadikannya satu budaya hidup yang sihat.

“Saya difahamkan, setiap hari negara memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah yang mampu menampung kegunaan kira-kira 1,000 orang pesakit. Di Lembah Klang sahaja, PDN memerlukan 500 hingga 600 beg darah sehari.

“Saya menyeru semua kumpulan masyarakat membantu dengan menderma darah bukan sahaja bagi menyelamatkan nyawa pesakit tetapi secara tidak langsung meningkatkan tahap kesihatan komuniti setempat,” katanya.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama penderma darah ketika menghadiri ke Program ‘Blood Donation Drive’ di Mid Valley, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 JULAI 2022.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Blood Donation Drive diMid Valley anjuran Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG), di sini, hari ini.

Menyentuh kempen derma darah ‘Blood Donation Drive’ anjuran TSMCGF dengan kerjasama PDN dan IGB Real Estate Investment Trust, Muhyiddin memberitahu, kolaborasi itu dijadikan acara tahunan sejak sembilan tahun lalu.

“Kempen ini diadakan selama dua hari iaitu hari ini dan esok di pusat beli-belah Mid Valley Megamall.

“Pada tahun lepas, sebanyak 567 beg darah telah berjaya diperolehi dan saya berharap jumlah kutipan darah bagi tahun ini akan meningkat lebih 600 beg, insya-Allah,” katanya.

Beliau turut berbangga kerana TSMCGF menjadi salah satu pembekal dan penderma darah terbesar negara dengan kejayaan mengumpul lebih 15,000 beg darah sejak kempen berkenaan mula dilancarkan.

Muhyiddin turut merancang untuk memperluaskan kempen derma darah yang sebelum ini memberi tumpuan sekitar Lembah Klang ke negeri lain antaranya Johor dan Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat pameran ketika hadir pada Program ‘Blood Donation Drive’ di Mid Valley, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 16 JULAI 2022.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast