bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan lengang minggu depan berikutan kegiatan penjualan besar-besaran di tengah-tengah meningkatnya risiko pasaran serta keadaan tidak menentu dalam pasaran ekuiti global.

Namun begitu, di sebalik keadaan yang lesu itu, dagangan di bursa tempatan cenderung untuk bergerak secara menaik.

Menurut Pengarah Eksekutif dan Pengurus Dana Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur berlegar dalam lingkungan 1,420 hingga 1,450 minggu depan dengan para pelabur menjangkakan kemunculan kegiatan memburu saham berharga murah yang sederhana.

Beliau seterusnya menambah disebabkan kebimbangan COVID-19 yang berterusan di seluruh dunia dan potensi kenaikan kadar faedah, saham-saham berkaitan pembuatan sarung tangan dan perbankan mungkin melihat beberapa pergerakan pada minggu akan datang.

“Kegiatan memburu saham murah yang sederhana membabitkan sektor pembuatan sarung tangan dan perbankan mungkin mengimbangi penurunan dalam sektor perladangan dan tenaga baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu singkat urus niaga yang baharu berakhir, bursa tempatan diniagakan bercampur-campur di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai faktor luaran termasuk turun naik dalam pasaran serantau dan pasaran ekuiti global.

Pada Khamis, dilaporkan bahawa inflasi Amerika Syarikat (AS) mencecah paras tertinggi 40 tahun pada 9.1 peratus tahun ke tahun, memburukkan lagi kebimbangan yang Rizab Persekutuan akan menjadi lebih agresif dengan kenaikan kadarnya.

Pada penutupan urus niaga Jumaat, FBM KLCI susut 1.62 mata kepada 1,418.44 daripada penutupan Khamis 1,420.06.

Pada asas mingguan, indeks penanda aras adalah 7.35 mata lebih rendah kepada 1,418.44 daripada 1,425.79 pada akhir minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBMT100 menguncup 77.33 mata kepada 9,815.75, Indeks FBM Emas Syariah kerugian 111.57 mata menjadi 10,082.35 dan Indeks FBM Emas lebih rendah sebanyak 88.64 mata kepada 10,047.89.

Indeks FBM ACE turut susut 107.98 mata kepada 4,559.83 manakala FBM 70 lemah sebanyak 201.30 mata menjadi 11,995.01.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan peroleh 20.87 mata kepada 6,655.73, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 6.10 mata kepada 166.73, dan Indeks Tenaga susut 31.80 mata kepada 604.64.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 69.43 mata kepada 16,007.69, Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 25.0 mata menjadi 1,654.44, dan Indeks Teknologi jatuh 1.22 mata kepada 58.73.

Sementara itu, jumlah dagangan mingguan lebih rendah kepada 5.81 bilion unit bernilai RM4.81 bilion daripada 9.45 bilion unit bernilai RM6.49 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turut mengecil kepada 5.49 bilion saham bernilai RM4.20 bilion berbanding 5.74 bilion saham bernilai RM5.61 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.39 bilion unit bernilai RM256.90 juta berbanding 2.11 bilion unit bernilai RM412.91 juta seminggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 1.29 bilion saham bernilai RM346.46 juta daripada 1.59 bilion saham bernilai RM460.36 juta minggu sebelumnya. – BERNAMA