KUALA LUMPUR – Pelbagai sektor sedang mengalami masalah kekurangan pekerja selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi dan kelibat krisis buruh seakan-akan mula kelihatan.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Malaysia), Ding Hong Sing berkata, sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan masalah itu, maka akan berlaku keadaan tiada orang membaiki rumah dan jalan malahan tiada orang mengendalikan jentera.
Beliau justeru menggesa kerajaan segera mendirikan pusat sehenti untuk mengurangkan karenah birokrasi serta mempercepatkan proses pengambilan pekerja asing.
Katanya, pada ketika ini, usahawan sektor pembinaan, perladangan, makanan dan pengilangan bukan sahaja berdepan masalah kekurangan pekerja, malahan kos yang semakin tinggi.
“Negara kekurangan 2.5 juta pekerja dan boleh dikatakan setiap sektor berdepan masalah kekurangan tenaga kerja.
“Keadaannya adalah paling serius dalam pekerjaan yang kotor, bahaya dan sukar kerana tiada orang yang minat,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.
Mengulas lanjut, Hong Sing berkata, seramai dua juta pekerja asing telah pulang ke negara asal semasa pandemik dan meninggalkan kesan apabila ekonomi dibuka semula.
“Disebabkan kekangan pekerja, majikan tidak berani menerima tempahan. Keadaan ini berlaku kerana akan berlaku pelanggaran kontrak sekiranya tempahan gagal disiapkan mengikut waktu,” katanya.
Mengenai pembekuan kemasukan pekerja Indonesia pula, Hong Sing berkata, majikan boleh mempertimbangkan alternatif lain termasuk pekerja Bangladesh, Pakistan, Myanmar, India, Nepal, malahan negara-negara Afrika.
Menurutnya, perusahaan kecil dan sederhana turut mengambil banduan dalam sistem parol sebagai pekerja, tetapi kebanyakan mereka hanya berkhidmat selama beberapa bulan.
“Selepas tamat tempoh hukuman, mereka biasanya akan meletak jawatan dan balik ke kampung,” katanya.
Sementara itu, beliau turut meminta perusahaan yang berdepan masalah mengambil pekerja asing untuk menghubungi pihak persatuan.
Katanya, pihak persatuan akan memanjangkan dokumen permohonan mereka kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi mempercepatkan prosesnya. – MalaysiaGazette
Rakyat malaysia ini kalau boleh semua orang hendak berniaga, sebab 9/10 punca rezeki dari perniagaan. Sudah tiba semua kerja di automasi baik di ladang dan kilang. Kita tidak mempunyai rakyat yang ramai spt jepun 100 juta atau korea dan thailand 70juta. Jadi percepatkan kerja-kerja di automasi kan. Kalau tidak percya tengok semula pasar-pasar borong, mesti ramai warga asing. Hari tu isi rakyat tempatan hanya sementara sahaja.