KUALA LUMPUR – Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mendatar minggu depan dengan kecenderungan kepada penurunan, kata peniaga minyak sawit David Ng.
Beliau berkata, prospek pada paras stok yang mencukupi dan permintaan yang lebih lemah, ia akan terus mempengaruhi harga MSM.
“Kami menjangkakan MSM akan diniagakan antara RM3,400 dan RM3,800 satu tan metrik,” katanya kepada Bernama.
Awal minggu ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata, harga purata MSM dijangka pada RM5,300 setan pada separuh kedua 2022, lebih rendah berbanding separuh pertama disebabkan jangkaan bekalan minyak sayuran global yang lebih tinggi, pengeluaran MSM lebih tinggi terutamanya pada suku ketiga serta eksport minyak sawit yang lebih rendah.
MPOB berkata keputusan Indonesia untuk melonggarkan peraturan eksportnya bagi menggalakkan penghantaran dan mengurangkan inventori minyak sawitnya yang tinggi akan memberi saingan sengit kepada industri minyak sawit Malaysia.
Ia berlaku selepas Malaysia mencatatkan eksport yang lebih tinggi apabila pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu mengehadkan eksport minyak sawitnya melalui langkah-langkah seperti larangan eksport selama tiga minggu yang dikenakan mulai 28 April dan obligasi pasaran domestik untuk memastikan ketersediaan bekalan domestik.
Dalam tempoh enam bulan pertama 2022, MSM didagangkan 55.9 peratus atau RM2,268.50, lebih tinggi pada RM6,330.00 setiap tan secara purata berbanding RM4,061.50 setiap tan pada Januari-Jun 2021. Pada Mei 2022, harga purata MSM mencapai rekod tertinggi RM6,873.00 setiap tan.
Sementara itu, CGS-CIMB Research dalam satu nota penyelidikan berkata sektor perladangan dijangka terjejas teruk oleh pembekuan sementara pekerja Indonesia ke Malaysia memandangkan kebergantungan sektor yang lebih besar kepada pekerja Indonesia untuk aktiviti penuaian terutamanya apabila bulan pengeluaran puncak semakin hampir.
Dilaporkan bahawa Malaysia kekurangan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja dalam industri pembuatan (627,000), perladangan (120,000) dan pembinaan (550,000).
“Kelewatan itu boleh menyebabkan pengeluaran minyak sawit untuk separuh kedua 2022 jatuh pada paras rendah sama seperti setahun lepas.
“Kekurangan pekerja dengan peningkatan kos (gaji minimum dan baja) dan kejatuhan harga MSM, akan menimbulkan risiko penurunan kepada pendapatan penanam Malaysia separuh kedua 2022,” kata firma penyelidikan itu.
Indonesia telah menghentikan sementara penghantaran pekerja ke Malaysia berikutan pelanggaran perjanjian pengambilan pekerja yang ditandatangani antara kedua-dua negara (Malaysia dan Indonesia) pada 1 April, 2022.
Untuk minggu dagangan yang singkat berikutan cuti umum, niaga hadapan MSM Malaysia kebanyakannya diniagakan lebih rendah berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan pemotongan levi eksport oleh kerajaan Indonesia serta kebimbangan mengenai tahap stok yang tinggi, eksport yang lebih lemah dan pembekuan sementara pekerja Indonesia ke Malaysia.
Pasaran ditutup pada Isnin (11 Julai) sebagai ganti cuti umum Aidiladha yang jatuh pada Ahad.
Dari segi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, kontrak bulan semasa Julai 2022 merosot RM505 kepada RM3,632 setan, Ogos 2022 susut RM571 to RM3,560 satu tan, penanda aras September 2022 turun RM572 pada RM3,585 satu tan, Oktober 2022 berkurangan RM564 kepada RM3,630 satu tan, November 2022 menguncup RM554 kepada RM3,678 satu tan manakala Disember 2022 turun RM530 kepada RM3,747 satu tan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 270,789 lot daripada 458,672 lot pada minggu sebelum ini manakala kepentingan terbuka menguncup kepada 222,879 kontrak daripada 291,107 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan merosot RM550 kepada RM3,800 satu tan. – BERNAMA