MELAKA – Warga tani di Melaka digesa lebih proaktif untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian ladang, penternakan dan perikanan sekaligus memastikan kelestarian bekalan makanan demi kesejahteraan negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, antara usaha yang boleh dilakukan golongan terbabit, iaitu peladang, penternak dan nelayan adalah dengan membangunkan tanah-tanah terbiar di seluruh negeri ini.
Ia termasuk membangunkan tanah-tanah milik persendirian, agensi kerajaan atau swasta menggunakan aplikasi teknologi-teknologi pertanian moden selari dengan dasar kerajaan ke arah Revolusi Industri (IR 4.0).
“Melalui cara ini, produktiviti pengeluaran hasil pertanian projek sedia ada dapat ditingkatkan selain dapat mengurangkan kos pengeluaran dalam jangka masa panjang.
“Geografi bumi yang pelbagai di negeri ini adalah sangat sesuai dan berpotensi untuk pertanian sawah padi, sayuran dan buah-buahan merentasi 108 sungai sepanjang 673 kilometer serta jarak pesisir pantai sepanjang 120.5 kilometer,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Melaka 2022 (HPPNM) Bertemakan Pertanian Pemangkin Ekonomi Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak bin Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, beliau yakin dengan segala sokongan dan dokongan daripada pemimpin masyarakat, komuniti serta warga tani, Melaka akan terus maju dalam sektor pertanian yang semakin mencabar.
Menurutnya, ia sejajar dengan Laporan Sosioekonomi Negeri Melaka Tahun 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menyaksikan sektor pertanian di Melaka telah mencatatkan kadar peningkatan sebanyak RM4.6 bilion.
“Ini termasuklah menyumbang sebanyak 11.6 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.
“Lebih membanggakan, sektor ini juga telah menjadi satu-satunya sektor yang mencatatkan kadar pertumbuhan yang positif berbanding sektor lain sebanyak 3.7 peratus pada 2020 ketika saat negara dilanda gelombang Covid-19,” katanya.
Tambahnya, rekod itu juga telah mengangkat Melaka di kedudukan pertama yang mencatatkan pertumbuhan positif tertinggi bagi sektor pertanian diikuti oleh Johor sebanyak 3.1 peratus, Pahang 1.6 peratus dan Perak 1.4 peratus. – MalaysiaGazette