SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mahu ahli parti itu supaya bersungguh-sungguh menyanggah segala kenyataan yang dibuat oleh kepimpinan UMNO terutama Datuk Seri Najib Razak.
Dalam ucapan sulungnya sebagai orang nombor dua parti pada Kongres Nasional PKR ke-16, Rafizi berkata, UMNO dan Najib tidak boleh dibiarkan bermaharajalela menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Serentak itu beliau mengajak semua kepimpinan PKR di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap Najib pada Selasa ini.
“Pertama kita kena sanggah UMNO jangan bagi bermaharajalela. Kita tidak boleh membiarkan Najib syok sendiri meracun rakyat. Kau orang tak bosan ke?
“Kita sudah jatuhkan dia sampai dia jadi pesalah dan bakal jadi banduan. Kalau kita tak terus sanggah dia, dia rasa dia macam pembesar negara. Sebab itu bermula hari ini tugas pertama semua kita balik dan akan sanggah Najib sehingga kita hantar dia ke penjara.
“Tak boleh biarkan dia ikut suka main isu perkauman, ikut suka racun rakyat. Cukuplah. Itu semua bermula daripada kita laporan polis hari Selasa ini terhadap Najib di seluruh negara,” katanya.
Rafizi turut mendakwa Ahli Parlimen Pekan tersebut hanya ‘sembang kencang’ kerana berasakan tidak ada mana-mana pihak boleh menyangah kenyataan yang dikeluarkan olehnya.
“Dan setiap kali Najib berbohong, lepas ini jangan duduk diam. Kita akan buat laporan polis demi laporan polis sebab saya tahu Najib seorang yang penakut.
“Dia sembang kencang sebab orang tak nak lawan dia. Dia rasa bebas. Bila kita mula pastikan setiap propaganda Najib lepas ini akan jawab sama seperti dalam mahkamah semua tidak tahu,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan Rafizi akan membuat laporan polis terhadap Najib berikutan kenyataan yang melibatkan isu tuntutan waris Kesultanan Sulu.
Rafizi mendakwa kenyataan Najib yang menyalahkan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dalam isu tersebut sebagai bersifat perkauman.-MalaysiaGazette