KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membuat satu hantaran panjang khusus buat Rafizi Ramli dan semua ahli PKR menyangkalnya.
“Tak apa. Selepas ini, saya akan buat satu posting yang panjang khusus untuk Rafizi dan semua ahli PKR untuk sangkal saya. Tunggu, ya.
“Jangan tak buat kerja seperti diarahkan Timbalan Presiden korang. Bring it,” cabarnya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.
Najib berkata demikian mengulas kenyataan Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR yang mahu semua ahli-ahli parti membendung beliau dan UMNO daripada bermaharajalela termasuk membuat laporan polis.
Terdahulu Najib berkata, pada Mac lalu setelah Rafizi keluar ‘gua’ bekas Ahli Parlimen Pandan itu berjanji akan sangkal setiap kenyataannya sebab mendakwa dirinya telah merampas peranan naratif rakyat dari Pakatan Harapan (PH).
“Setelah empat bulan berkali-kali gagal untuk sangkal saya, hari ini dia arahkan semua ahli PKR pulak supaya bekap (back up) dia untuk sangkal saya.
“Sendiri gagal, satu parti diarahkan bekap dia untuk lawan saya seorang. Macam budak kalah main guli, dia ajak member bekap pula. Eh,… lemah betul.
“Lalu dia kata dia akan suruh ahli PKR untuk buat laporan polis terhadap saya setiap kali saya bohong sebab dia kata saya penakut. Ini lagi lemah,” tulisnya.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menegaskan, beliau tidak berbohong dan setiap tulisannya ada fakta dan asas.
Selain itu, katanya, menipu dalam media sosial bukanlah jenayah selagi ianya tak hasut rakyat untuk ajak turun ke jalan raya.
“Jika menipu merupakan kesalahan jenayah, dah sepuluh tahun Rafizi melingkup kat dalam dah. Siapa tak tahu dia Raja Formula Songsang? Buatlah ramai-ramai polis report. Saya tak pernah takut sebab saya tak tipu macam kamu,” tulisnya yang juga menafikan dakwaan beliau penakut.
Menurut beliau, dahulu Rafizi mendakwa beliau tidak popular dan hari ini dia mengarahkan semua ahli PKR untuk sangkal dengan alasan ini adalah sangat penting bagi PH.
“Kenapa perlu sangkal pulak jika saya tak popular?” soal Najib.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: