Najib Razak

KUALA LUMPUR – Memansuh dan membatalkan projek-projek adalah kaedah Kerajaan Pakatan Harapan yang gagal dan telah terbukti menjahanam dan membantutkan pertumbuhan ekonomi.

Datuk Seri Najib Razak berkata, ketika kadar inflasi dunia yang tinggi, kerajaan bukan sahaja memberi subsidi untuk kawal harga tetapi perlu menaikkan gaji rakyat dan membina kekayaan rakyat melalui pasaran saham dan tabung simpanan serta memberi peluang untuk rakyat meniaga.

Bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu berkata, hutang negara juga boleh terkawal sekiranya kadar pertumbuhan ekonomi lebih laju berbanding kadar kenaikan hutang dan bayaran servis hutang.

”Sebab itu, projek-projek yang membawa kepada kadar pulangan ekonomi lagi besar berbanding kos faedah hutang ataupun tidak menggunakan dana bajet tahunan kerajaan secara terus patut diteruskan.

“Projek-projek usahasama kerajaan-swasta serta Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang tidak melibatkan dana kerajaan dan dibiayai pihak swasta ataupun kerjasama dengan negara asing patut diteruskan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, dua cabaran utama dunia sekarang ialah kadar inflasi yang tinggi dan juga kemelesatan ekonomi dunia yang dijangka menimpa akibat negara-negara dunia terutamanya Amerika Syarikat.

Disebabkan itu, Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah bank dengan laju untuk melawan inflasi.

Jadi, pendekatan kerajaan untuk tangguh dan batal projek untuk memberi lebih tumpuan kepada beban subsidi adalah kurang bijak.

”Ya, kekalkan subsidi untuk kawal subsidi dan memberi sedikit kelegaan kepada rakyat adalah patut tapi langkah ini tidak membawa kepada pendapatan baharu, tak naikkan gaji, tidak memberi kemudahan baharu kepada rakyat, tak galakkan pelaburan baharu dan tidak menjana peluang pekerjaan baharu,” ujarnya.

Beliau yang optimis masalah inflasi dunia akan lega tidak lama lagi berdasarkan dasar terbaharu ekonomi-ekonomi besar yang terlalu agresif dengan menaikkan kadar faedah luar biasa tinggi serta harga-harga komoditi yang sudah menjunam sejak bulan lepas.

Jelas beliau, projek kerajaan terutamanya projek yang saiznya signifikan memerlukan masa yang panjang untuk digerakkan dan dilaksanakan.

”Jadi, bila kita batal atau tangguhkan projek, ia perlu masa yang lebih lama untuk kerajaan hidupkan semula sekiranya projek-projek berkenaan perlu dirancakkan semula.

”Masa itu kita akan terlambat bertindak,” jelasnya.

Soal Najib lagi, apa gunanya sekiranya harga barang terkawal tetapi ekonomi negara menjadi corot memandangkan Malaysia bakal berdepan dengan kemelesetan ekonomi tak lama lagi.

”Jangan short-sighted. Nanti negara jatuh ke keadaan staglation (iaitu inflasi masih tinggi tapi ekonomi turut meleset) baru kita kesal.

”Jangan lihat masalah di depan mata sahaja tetapi tak nampak cabaran yang bakal berlangsung tak lama lagi,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu proaktif untuk bersedia menyelesaikan masalah masa depan dan bukan hanya reaktif untuk selesaikan masalah ketika ini sahaja.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Mustapa Mohamed yang berkata, langkah menangguh atau membatalkan mana-mana projek yang belum dilaksanakan mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sekali gus membantu menstabilkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan melihat kedudukan kewangan negara dan meneliti perkembangan projek yang terlibat selain mengadakan perbincangan sebelum membuat sebarang keputusan.

”Saya telah mengadakan mesyuarat dengan pihak terlibat antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk melihat mana-mana projek sama ada yang telah bermula atau belum dijalankan.

“Kerajaan melihat bagi projek yang belum dilaksanakan kita tidak akan teruskan manakala bagi projek yang telah dilaksanakan kerajaan akan berbincang tentang perkembangan sama ada projek yang mana akan ditangguhkan atau sebaliknya,” katanya semalam.

Mustapa berkata, langkah tersebut merupakan salah satu inisiatif penjimatan dalaman selain menyahut arahan yang dikeluarkan melalui Pekeliling Perbendaharaan Malaysia.- MalaysiaGazette