KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membatalkan lesen dan menutup terus Kelab Komedi Crackhouse untuk dijadikan pengajaran kepada pihak lain pada masa akan datang.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, penutupan atau penggantungan sementara premis terbabit kurang memberikan kesan positif kerana perkara sama boleh berulang pada masa akan datang.
Katanya, tindakan pemilik kelab terbabit sendiri telah melanggar undang-undang kerana lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah untuk perniagaan restoran dan bukannya untuk tujuan hiburan.
“Itu pun merupakan satu perkara yang tidak betul dan tindakan boleh diambil kerana menyalahguna lesen yang diberi.
“Kerajaan tidak boleh berlembut dalam perkara tersebut dan tindakan tegas perlu diambil agar tidak ada pihak melakukan perkara sama sebagaimana dilakukan oleh pemilik kelab terbabit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas mengenai sikap wanita yang dikenali sebagai Siti Nuramira Abdullah yang mengaku telah menghafaz 15 juzuk al-Quran dan berkelakuan biadap di kelab terbabit, Aminuddin menegaskan, wanita terbabit sepatutnya memahami sentimen agama merupakan perkara paling sensitif dan tidak boleh dipermainkan.
Katanya, agama tidak boleh dijadikan bahan lawak yang mungkin menjadi kebiasaan bagi sesetengah individu untuk melakukannya.
Ini kerana, bagi umat Islam perkara itu adalah satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan
“Kita selalu beri peringatan bahawa sentimen agama ni sangat sensitif apatah lagi melibatkan agama Islam.
“Ia melibatkan akidah dan ini satu perkara yang sangat serius…saya berharap agar pihak berkuasa cari jalan supaya perkara ini tidak berulang-ulang. Tapi, kini nampaknya perkara seperti ini telah banyak kali berulang (orang hina Islam).
“Mungkin hukuman itu terlalu ringan, terlalu mudah yang akhirnya orang melihat perkara ini bukan satu perkara yang perlu dirunsingkan…tapi, bagi kami ini bukan satu perkara yang baik,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Pembela, Mahmud Hishamuddin mencadangkan agar pihak-pihak yang menghina Islam dihantar untuk mendapatkan rawatan di pusat rawatan mental.
Katanya, mereka yang suka mempermain-mainkan agama Islam dilihat seolah-olah menghadapi masalah mental yang perlu dirawat bagi mengelak ia menjadi lebih parah.
“Saya nampak mereka ini kena dihantar ke pusat rawatan mental sebab mereka macam seronok sangat bila lihat orang Islam marah apabila agama mereka dihina.
“Saya ingat mereka itu perlukan diberikan rawatan pemulihan supaya sakit mental mereka itu tidak menjadi keterlaluan,” tambahnya. – MalaysiaGazette