Zazuli Johan

PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerima enam unit mesin pengimbas baharu yang dipasang secara berperingkat di Pelabuhan Klang dari November 2021 hingga Mei lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zazuli Johan berkata, enam unit mesin pengimbas baharu itu diluluskan Kementerian Kewangan bagi melengkapkan tugasan membanteras aktiviti penyeludupan menerusi pelabuhan.

Kata beliau, antara kejayaan mesin itu ialah mengesan barang larangan yang diseludup pihak tertentu melalui kapal laut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, JKDM Zon Tengah, Unit II Selangor berjaya menyelesaikan 106 kes dengan memungut ketirisan hasil sebanyak RM928,729.08 melalui saringan mesin pengimbas yang baharu.

“Sebanyak 18 kes tidak termasuk kes hari ini, masih dalam siasatan, di mana nilai yang dianggarkan RM3,107,000 dan jumlah cukai yang terlibat adalah sebanyak RM13,793,813,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam di sini, petang ini.

Zazuli menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Kata beliau, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

“Kita juga menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

Ditanya mengenai peranan Kastam dalam mengekang penyeludupan minyak masak di sempadan, beliau berkata, kawalan dan pemeriksaan ketat dilakukan di semua pintu masuk sempadan.

Setakat ini, katanya, pihaknya hanya merampas minyak masak dalam jumlah kecil yang cuba dibawa masuk oleh individu ke negara jiran.

“Kita hanya lakukan pemeriksaan di pintu masuk sempadan, sedangkan penyeludupan dalam kapasiti besar dikatakan berlaku di sepanjang sempadan.

“Untuk itu, ia peranan dan tugas agensi pengkuatkuasa lain. Kita hanya jaga pintu sempadan sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette